HALAMAN SANTAI

Selasa, 20 April 2021

Putrajaya terlampau lembab peroleh bekalan vaksin, kata Anwar

Anwar Ibrahim berkata kerajaan sepatutnya bersiap siaga untuk memperolehi 
vaksin yang berkesan sejak berbulan yang lalu.

PETALING JAYA: Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim, menggesa satu siasatan bebas dikendalikan Parlimen bagi mencari punca “kelembapan” kadar pemerolehan vaksin oleh kerajaan pusat, negeri dan pihak swasta.

Katanya, setakat hari ini kurang daripada 3% rakyat Malaysia yang sudah mendapat suntikan vaksin Covid-19, sehingga memaksa beberapa kerajaan negeri, syarikat swasta dan yayasan berusaha sendiri untuk memperoleh bekalan vaksin yang diluluskan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

“Namun kerajaan PN (Perikatan Nasional) di sini terlalu sibuk memikirkan cara untuk mengawal keseluruhan proses (pembekalan) dari A sampai Z, sehingga mengakibatkan kelengahan yang tidak sepatutnya, dan saya amat terganggu dengan sikap pihak atasan kementerian yang ternyata begitu lembab,” katanya dalam kenyataan.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, kerajaan Selangor misalnya, terpaksa menunggu berbulan-bulan hanya untuk mendapatkan kelulusan yang diperlukan, meskipun mereka telah memperuntukkan dana sendiri untuk mendapatkan dua juta dos buat rakyat negeri itu.

“Saya turut mendapat aduan daripada beberapa syarikat swasta dan yayasan bahawa permintaan dan usaha mereka untuk mendapatkan vaksin tidak dihiraukan sama sekali.

“Juga turut dilaporkan bahawa vaksin Sinopharm dijangka tiba pada Mei nanti, namun sehingga Mac kita masih belum pasti sama ada kelulusan telah diberikan, sekali gus menambah timbunan masalah yang menanti penyelesaian,” katanya.

Anwar berkata, kerajaan sepatutnya bersiap siaga untuk memperoleh vaksin yang berkesan sejak berbulan yang lalu, dan prestasi gerak kerja kerajaan sekarang tidak boleh diterima sama sekali.

“Justeru saya menuntut kerajaan pusat mestilah bertindak pantas dan menyokong penuh usaha kerajaan negeri dan sektor swasta untuk mendapatkan perolehan terhadap vaksin yang diluluskan demi meningkatkan kadar kesegeraan vaksinasi.

Semalam, kira-kira 500,000 guru termasuk di sektor swasta dilaporkan akan menerima vaksin dalam fasa ke-2 Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, berkata Kementerian Pendidikan sedang menyiapkan senarai guru berkenaan untuk dimasukkan ke dalam sistem vaksinasi bagi mendapatkan janji temu.

Khairy berkata, setakat ini seramai 701,812 individu sudah menerima suntikan dos pertama manakala 443,029 individu sudah menerima dos kedua.

Tiada ulasan: