HALAMAN SANTAI

Isnin, 19 April 2021

Saya segan nak ulas hashtag #kerajaangagal – Najib

MGF10102020_TEMUBUAL-EKSLUSIF-DS-NAJIB09
Najib Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak tidak faham mengapa sehingga hari ini UMNO dan Barisan Nasional (BN) masih mahu ada kaitan dengan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang didakwa sebagai kerajaan yang gagal.

Bekas perdana menteri itu berkata, beliau mula sedar niat kerajaan PN sudah tak betul apabila kali pertama meminta darurat dan Parlimen digantung pada bulan Oktober 2020 tanpa berbincang dengan parti UMNO dan BN.

Ini kerana, beliau berpendapat langkah itu tidak akan membantu dalam usaha mengawal Covid-19, sebaliknya akan memudaratkan ekonomi dan pelaburan asing yang sudahpun lemah akibat kerajaan yang tidak stabil dengan majoriti tipis.

Ternyata telahan itu terbukti benar hari ini apabila darurat tak membantu manakala pelaburan asing kami junam ke paling rendah dalam ASEAN berbanding paling tinggi sebelum PRU14.

”Sebenarnya, saya segan untuk mengulas tentang hashtag #kerajaangagal ini sebab menteri-menteri UMNO dan BN masih meyokong dan merupakan sebahagian dari kerajaan PN.

”Seperti diulas saya 6 bulan dahulu pada Oktober tahun lepas, saya sudah ramal bahawa UMNO-BN bakal dikaitkan dengan kegagalan kerajaan dari segi ekonomi, covid dan langkah-langkah yang tidak akan disenangi Rakyat seperti apa yang berlaku ketika ini,” katanya di sini yang turut melahirkan rasa kecewa dengan langkah-langkah mengawal Covid-19 yang diambil kerajaan masa itu.

Hashtag #kerajaangagal tular di media sosial sejak kebelakangan ini dan digunakan oleh pelbagai pihak terutama ketika mereka berkicau dalam media sosial Twitter.

Misalnya, tidak mewajibkan kuarantin bagi mereka yang pulang dari Sabah sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan selepas itu bertukar menjadi kurantin kendiri untuk tiga hari sahaja walaupun Kementerian Kesihatan sendiri sedar bahawa purata tempoh inkubasi Covid-19 adalah 6 hari.

Melihat situasi itu, Najib berkata, beliau telah menyarankan untuk menyekat rentas negeri serta-merta memandangkan jumlah kes baharu Covid-19 di Semenanjung cuma dalam puluhan kes sehari masa itu tapi tidak dilayan kerajaan.

”Pandangan saya ialah jika Covid-19 terkurung di Sabah dan tidak merebak dalam Semenanjung, kerajaan boleh tumpukan seluruh usaha untuk membendung dan mengawal Covid di Sabah dalam masa tersingkat.

”Tapi ini tidak berlaku dan gelombang ketiga yang bermula pada bulan Oktober itu telah berlanjutan sehingga hari ini.

Jika Covid-19 terkawal, ekonomi memulih dan pelaburan asing masuk maka kerajaan tak perlulah guna begitu banyak wang untuk pakej-pakej bantuan sehingga PM8 terpaksa mengaku kerajaan hari ini tiada banyak wang lagi,” ujarnya.

Najib berkata, sejak bulan Oktober lagi, beliau sudah beri amaran kepada UMNO bahawa parti itu akan disalahkan sekiranya gagal mengawal ekonomi walaupun UMNO langsung tidak mengambil peranan dalam hala tuju kewangan dan ekonomi.

Ini kerana, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) memonopoli jawatan perdana menteri, menteri kanan yang paling kanan, menteri kewangan, menteri ekonomi dan Majlis Tindakan Ekonomi tanpa sebarang wakil dari parti UMNO, Pas atau mana-mana parti lain, tambahnya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: