HALAMAN SANTAI

Jumaat, 23 April 2021

Sokongan Melayu kepada Muhyiddin meningkat, kata Merdeka Center

AGENDA DAILY

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan selamat berpuasa kepada seluruh umat Islam di Malaysia.

Satu tinjauan badan pengkaji bebas mendapati sokongan orang Melayu terhadap kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meningkat kepada 83 peratus, malah popularitinya dikalangan rakyat di semenanjung Malaysia juga masih kekal stabil.

Populariti keseluruhan Muhyiddin meningkat dengan tahap sokongan 67%, bagaimanapun sokongan pengundi Cina masih kurang memuaskan pada kadar 30% dan 66% sokongan dari pengundi India.

Peratusan tersebut dilihat lebih baik berbanding sebelum ini semasa tinjauan hujung Januari 2021 yang hanya mencatat 63 peratus sokongan.

Tinjauan juga mendapati pandangan rakyat terhadap hala tuju masa depan negara bercampur-campur dengan sebanyak 41 peratus mengatakan negara sedang “bergerak atas landasan yang tepat” sementara 46 peratus menyatakan sebaliknya.

Peratusan ini juga memperlihatkan perkembangan positif berbanding tinjauan pada Januari 2021 lalu kerana semasa tinjauan terdahulu sebanyak 32 peratus merasakan negara sedang “bergerak atas landasan yang tepat” sementara 54 peratus pula mengatakan sebaliknya.

Orang ramai yang mengatakan negara sedang berada di landasan tepat juga menyifatkan kerajaan sekarang mengambil berat kebajikan rakyat bagaimanapun diganggu oleh keadaan politik yang tidak stabil akibat tindakan protes pembangkang dan keadaan ekonomi semasa yang tidak memihak terhadap negara ketika ini.

Dalam tinjauan tersebut juga, isu ekonomi menjadi perhatian utama orang ramai sebanyak 57 peratus yang perlu menjadi keutamaan kerajaan dan diikuti isu pandemik 16 peratus sementara itu politik adalah yang paling kurang dibangkitkan oleh mereka yang ditemuramah.

Tinjauan Merdeka Center dijalankan antara 31 Mac dan 12 April 2021 untuk mengukur persepsi pengundi terhadap perkembangan semasa.

Sebanyak 2,111 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 64% Melayu, 28% Cina, dan 8% India yang terlibat dalam kajian yang dijalankan ini.

Mereka semua ditemuramah melalui talian tetap dan telefon bimbit. Responden dipilih berdasarkan persampelan berstrata secara rawak di sepanjang kumpulan umur, etnik, jantina dan kawasan pilihan raya negeri.

Tiada ulasan: