HALAMAN SANTAI

Sabtu, 17 April 2021

Tun Faisal nafi jadi dalang rakaman audio, surat sokongan

MGF16042021_STATUSRAYUANHUKUMANDANAUDIOTULAR-2
Tun Faisal Ismail bercakap pada sidang media inisiatif bersumpah menafikan penglibatan dan kesahihah audio Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tular di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz hari ini menafikan terlibat dengan penerbitan, rakaman mahupun penyebaran rakaman suara mirip Presiden PKR dan Presiden UMNO di media sosial baru-baru ini.

Menurutnya, inisiatif bersumpah pada hari ini penting untuk membersihkan namanya daripada tuduhan memfitnah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hingga beliau dihukum penggantungan sebagai ahli UMNO selama enam tahun.

“Saya tidak terlibat dengan penyediaan audio, penciptaan audio atau rakaman audio perbualan tersebut dan tidak pula menyebarkan,” katanya pada sidang media di luar Surau Abdul Rahman, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Isnin lalu, Tun Faisal mengajak Ahmad Zahid untuk bersumpah supaya dapat membersihkan nama masing-masing.

Kedua-dua individu ini terpalit terlibat dalam penularan audio perbualan yang didakwa antara Ahmad Zahid dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Malah Tun Faisal turut dituduh terlibat merakam atau mencipta audio perbualan antara Ahmad Zahid dan Anwar.

Beliau juga dituduh menfitnah Ahmad Zahid berkenaan kewujudan surat sokongan Presiden UMNO itu dan Datuk Seri Najib Razak terhadap Anwar.

Tun Faisal berkata, jika beliau boleh bersumpah untuk membersihkan namanya, kenapa tidak Ahmad Zahid yang turut terpalit dengan dakwaan kerjasama dengan Anwar tanpa pengetahuan Majlis Kerja Tertinggi UMNO.

“Dalam masa sama, kalau saya bersumpah, Datuk Seri Ahmad Zahid juga bersumpah menyatakan bahawa dalam audio itu bukan suara beliau dan beliau tidak ada berbual dengan Anwar dalam perkara yang dibincangkan itu.

“Saya juga sanggup bersumpah bahawa surat sokongan kepada Anwar itu adalah benar dan Datuk Seri Zahid terlibat,” katanya.

Sekiranya Ahmad Zahid mahu membersihkan nama, Tun Faisal menggesanya bersumpah bahawa individu dalam rakaman suara itu bukan miliknya.

“Sekiranya Datuk Seri Ahmad Zahid bersumpah pada hari ini dengan lafaz, saya bersumpah atas nama Allah, Wallahi, Wabiahi, Watallahi bahawa suara di dalam audio perbualan bersama Datuk Seri Anwar itu bukan suara saya dan adalah rekaan semata-mata.

“Saya tidak pernah berbual dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti yang terkandung dalam audio tersebut,” katanya.

Tun Faisal juga menggesa Ahmad Zahid bersumpah bahawa presiden UMNO itu tidak menandatangani dan tidak terlibat memberi sokongan kepada Anwar hingga menyebabkan surat sokongan itu terhasil.

“Jika Datuk Seri Ahmad Zahid sedia bersumpah, beberapa isu akan selesai dengan sendirinya, termasuk hukuman penggantungan enam tahun ke atas saya akan terbatal.

“Saya telah didakwa dan dihukum oleh Lembaga Disiplin UMNO atas pertuduhan bahawa saya telah memfitnah Presiden UMNO, berkaitan surat sokongan terhadap Anwar.

“Saya juga telah didakwa dan dihukum kerana kononnya mengkritik presiden secara terbuka disebabkan terdedahnya surat sokongan ini,” jelasnya.

Katanya lagi, sekiranya Ahmad Zahid berani bersumpah hari ini, setidak-tidaknya Lembaga Disiplin ada asas untuk menghukum beliau.

“Sekiranya Datuk Seri Ahmad Zahidi berani bersumpah, setidak-tidaknya ahli UMNO di peringkat akar umbi akan percaya bahawa beliau bercakap benar mengenai surat sokongan kepada Datuk Seri Anwar dan rakaman audio perbualan bersama Datuk Seri Anwar,” katanya.

Sebaliknya, kata beliau, jika Ahmad Zahid tidak berani bersumpah hari ini, keyakinan ahli akar umbi UMNO akan semakin berkurangan dan akan menganggap bahawa beliau telah berbohong selama ini.

“Iaitu selepas Pilihan Raya Negeri Sabah, sebelum dan semasa Perhimpunan Agung UMNO 2020 serta dalam kenyataan media terbaru beliau yang menafikan perbualan itu benar-benar berlaku,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: