HALAMAN SANTAI

Jumaat, 4 Jun 2021

ADUN Dengkil sumbang elaun 3 bulan kepada Akaun Amanah Bencana


adhif

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Adhif Syan Abdullah mengumumkan akan menyumbang sepenuhnya elaun beliau selama tiga bulan ke dalam Akaun Amanah Bencana, bermula mulai bulan ini.

Beliau berkata, tindakan itu diambil sebagai mengambil inspirasi dari inisiatif Ahli Kabinet, barisan kepimpinan Kerajaan Persekutuan, ADUN-ADUN Perikatan Nasioanl (PN) serta penjawat awam yang prihatin.

Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan baru-baru ini, semua Menteri dan Timbalan Menteri tidak akan mengambil gaji selama tiga bulan bermula Jun dengan wang tersebut akan disumbangkan ke Akaun Amanah Bencana.

“Langkah berikut diambil atas kehendak saya sendiri selepas melihat keikhlasan serta kesungguhan usaha memerangi COVID oleh Perdana Menteri,” kata Adhif Syan dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Katanya, harapan beliau adalah ADUN-ADUN PH dari Kerajaan Negeri Selangor (serta lain-lain negeri di seluruh negara) turut berbuat demikian bagi menunjukkan tanda solidariti terhadap usaha kerajaan melawan COVID-19.

“Saya sarankan ADUN-ADUN PH berhenti mencari kesalahan kerajaan sebaliknya mencontohi pemimpin PN dalam pengorbanan serta komitmen yang ditunjukkan dengan menyumbang elaun mereka ke arah yang sama,” katanya.

Beliau berkata, umum mengetahui Program Vaksinasi Negara sedang berjalan dengan lancar, pusat-pusat vaksinasi mega sedang dibuka, pembelian vaksin oleh swasta, lori vaksin bergerak serta bermacam usaha lain sedang dan akan diusahakan kerajaan.

Katanya, Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa PLUS) yang diumumkan Perdana Menteri juga banyak membantu rakyat yang terjejas di samping bantuan-bantuan lain yang diumumkan sebelumnya.

“Justeru, untuk menuduh kerajaan gagal menguruskan wabak ini adalah tidak tepat sama sekali.

“Usaha memerangi COVID-19 sepatutnya merupakan satu usaha bersama. Jika pihak pembangkang tidak ada apa untuk disumbangkan, mereka tidak wajar mengganggu usaha cemerlang Kerajaan Persekutuan,” tambahnya.

Tiada ulasan: