HALAMAN SANTAI

Selasa, 22 Jun 2021

Anwar perlu lapor SPRM jika ahli PKR korup – Gerakan P.Pinang

Malinda Abdul Malik
WhatsApp-Image-2021-05-31-at-7
Oh Tong Keong

GEORGE TOWN – Parti Gerakan Pulau Pinang menggesa Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan kemungkinan wujud pemimpin korup dalam partinya.

Pengerusi Parti Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong berkata, Anwar perlu berani melaporkan perkara itu kepada SPRM, bukannya membuat pendedahan tanpa mengambil tindakan ke atas mereka yang dimaksudkan.

Tong Keong juga tidak menolak kemungkinan pendedahan yang dibuat Anwar itu bertujuan menonjolkan kedudukan serta kewujudan dirinya.

“Wujud dua kemungkinan Anwar tidak membuat laporan. Pertama, Anwar cuba melindungi pemimpin rasuah untuk terlepas daripada hukuman.

“Manakala kedua, Anwar bercakap bohong ini kerana beliau dilihat kerap kali bercakap kosong tanpa menunjukkan sebarang bukti.

“Selain itu, sebagai seorang pemimpin parti, Anwar sepatutnya menunjukkan teladan yang baik kepada ahlinya dengan berpegang dan mempertahankan idealisme, prinsip dan perlembagaan parti yang menolak rasuah, salah guna kuasa dan khianat. Jangan hanya sekadar membuat kritikan sahaja,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Tong Keong, walaupun wujud perbalahan dalam PKR hingga ada pemimpin meninggalkan parti itu, namun Anwar masih tetap dengan lakonan beliau.

“Saya menggesa Anwar supaya henti berlakon di hadapan rakyat dengan cuba menampilkan diri sebagai seorang pemimpin yang serius dan berpegang kepada keadilan.

“Buatlah laporan kepada SPRM dengan segera sekiranya mempunyai bukti, jangan teruskan permainan politik,” tegas beliau.

Semalam, Anwar mengakui parti itu bukanlah sempurna kerana sejarah menunjukkan ia tidak terlepas daripada pengkhianat dan perbuatan mengumpul kekayaan luar biasa apabila diberi sedikit kuasa.

Sehubungan itu, beliau menggesa seluruh ahli PKR supaya berpegang dan mempertahankan idealisme serta prinsip parti yang menolak rasuah, salah guna kuasa dan khianat.

Anwar berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Kongres Nasional Keadilan Ke-15 yang berlangsung secara maya berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: