HALAMAN SANTAI

Selasa, 22 Jun 2021

UMNO akan salahkan PN jika timbul krisis Perlembagaan – Shahril

Nizam Zain
MGF30032021_MALAYSIA-DEMOCRACY-1-2
Shahril Sufian Hamdan

KUALA LUMPUR – UMNO akan mempersalahkan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekiranya berlakunya krisis Perlembagaan sekiranya masih gagal melaksanakan sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari.

Ketua Penerangannya, Shahril Sufian Hamdan berkata, tindakan itu dilakukan sekiranya Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak mengendahkan gesaan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) agar Parlimen dibuka secepat mungkin.

“Andai kata tiada respon memuaskan daripada kerajaan terhadap gesaan ini, Majlis Kerja Tertinggi UMNO akan memutuskan (tindakan) seperti tuntutan organisasi dan selari dengan mandat dari Perhimpunan Agung UMNO (PAU).

“Jika timbul kenaikan suhu politik mahupun krisis Perlembagaan, ia adalah berpunca dari pendirian kepimpinan kerajaan yang berkeras,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 16 Jun lalu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah, menzahirkan pandangan supaya persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, ini bagi membolehkan pelan pemulihan negara yang dibentang kerajaan dan pelaksanaan Ordinan Darurat 2021 dibahaskan Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

Dalam pada itu, UMNO tidak boleh menerima dolak-dalih kerajaan untuk melenggahkan pembukaan dan persidangan Parlimen.

Menurutnya, UMNO tidak akan berdiam diri dengan sikap pentadbiran Muhyiddin yang berterusan tidak mempedulikan titah YDPA dan Majlis Raja-Raja Melayu.

“Pembukaan sidang Parlimen bagi mengembalikan peranan wakil rakyat melaksanakan tugas semak dan imbang dalam pengurusan pandemik Covid-19 dan ekonomi negara yang kritikal pada ketika ini.

“Apatah lagi, umum mengetahui aturan urusan mesyuarat (persidangan) adalah di bawah kawal selia kerajaan.

“Jadi tiada sebab untuk takut berhadapan dengan soalan atau perbahasan wakil rakyat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: