HALAMAN SANTAI

Selasa, 22 Jun 2021

‘Biar bumi dipijak kekal milik Melayu’


Setiausaha PAS Negeri Selangor, Roslan Shahir Datuk Mohd Shahir

Teguran Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengenai Pakatan Harapan (PH) yang melampau terhadap Islam dan haram bekerjasama dengan musuh, bukan sesuatu yang ekstrem.

Sebaliknya, teguran itu adalah peringatan kepada bangsa Melayu supaya terus dapat memerintah negara, kata Setiausaha PAS Negeri Selangor, Roslan Shahir Datuk Mohd Shahir.

Beliau menjelaskan adalah wajar sekiranya Hadi memberi peringatan kepada bangsa Melayu yang merupakan majoriti penduduk Malaysia supaya terus memegang teraju pemerintahan negara.

“Memastikan umat Melayu Islam mengambil keputusan yang bijak dalam berpolitik bukannya ekstrem tetapi sesuatu yang wajar.

“Jika mengembalikan PH bermakna dominan kembali DAP yang majoriti Ahli Parlimennya bukan-Islam.

“Maka sesuai sangatlah para pengundi khasnya umat Melayu Islam diperingatkan, biar bumi dipijak milik kita,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Roslan Shahir turut mengetengahkan bukti betapa DAP bersikap ekstrem apabila meminta pengundi di Sarawak memilih calon DAP yang berbangsa Melayu supaya senang untuk ‘screw Melayu’.

Demikian juga katanya apabila seorang pemimpin DAP Perak yang menyatakan Tun Dr Mahathir Mohamad yang ‘tua’ terpaksa dipergunakan semula untuk mengalahkan Datuk Seri Najib Razak.

“Siapakah yang lebih perkauman dan ekstremis sebenarnya? Itu baru beberapa contoh kecil,” katanya dalam kenyataan sebagai mengulas kecaman Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng terhadap kenyataan Hadi itu.

Sabtu lalu, Hadi melabelkan PH sebagai gabungan yang melampau terhadap Islam dan beliau mengingatkan adalah haram bagi umat Islam untuk bersama dengan musuh agama.

“Hanya beberapa hari kerajaan PH berkuasa, sudah terserlah sikap mereka yang melampau terhadap Islam dan kepimpinannya, sedangkan ia suatu perkara yang wajib dipertahankan dengan perintah Allah SWT,” kata Hadi

Beliau mengingatkan mengenai bahaya kepada umat Islam dan negara apabila terdapat dalam kalangan mereka yang sedia bersekongkol dengan sesiapa sahaja, termasuklah musuh agama, umat dan negara sehingga sanggup bersama dengan golongan yang nyata bersikap ekstrem terhadap Islam, umat dan raja.

Tiada ulasan: