HALAMAN SANTAI

Selasa, 22 Jun 2021

Nada Zahid sama dengan Anwar desak buka Parlimen, kata Ahli MT UMNO


Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dikatakan hanya memanggil penyokongnya sahaja untuk berbincang.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilihat senada pendirian dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menggesa supaya sidang Parlimen dibuka dengan segera kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Mendedahkan perkara itu kepada Agenda Daily, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, beliau bimbang sekiranya Zahid menyembunyikan agenda di sebalik ‘nada bersama’ berkenaan, ia memandangkan kedua-dua mereka sebelum ini pernah dikaitkan dalam satu pakatan sulit selepas tular klip audio mesra April lalu.

“Kita lihat nada dia (Zahid) sama dengan nada Anwar jadi kita tak tahulah apa di sebalik tersebut, tetapi kalau benar ikhlas kerana saranan Tuanku kerajaan pun kini sedang berusaha untuk mengadakan sidang Parlimen,” katanya.

Jelas Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia itu, Zahid sewajarnya tidak meletakkan tempoh tertentu untuk sidang Parlimen kembali dibuka kerana tugas tersebut adalah tanggungjawab Speaker Dewan Rakyat yang perlu meneliti aspek persediaan dan undang-undang yang selari dengan Perlembagaan.

“Zahid bukan Speaker Dewan jadi kita serah kepada mereka yang mainkan peranan dalam dewan,” kata Ahli Parlimen Padang Besar itu..

Tambahnya, Zahid sekarang sewajarnya membantu kerajaan dengan mendepani masalah yang dihadapi oleh negara ketika ini bukan asyik ‘berpolitiking’.

“Hendak desak segera itu sama dengan PKR, mungkin ada perancangan sebaliknya itu kita tak setujulah sebab sekarang fokus adalah hendak menyelesaikan isu berkaitan rakyat, kehidupan mereka, masalah Covid-19, kena jaga kebajikan mereka,” katanya.

Zahid hari ini meneruskan tekanan terhadap kerajaan PN dengan memberi kata dua kepada kerajaan supaya membuka sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari.

Ketua Pembangkang, Anwar juga terdahulu membuat desakan sama dengan memberi kata dua kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memanggil sidang Parlimen atau berundur secara terhormat.

Sebelum ini, Yang di-Pertuan Agong bertitah sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi menangani Covid-19 dan menyelamatkan ekonomi negara selepas meneliti pandangan pemimpin parti politik dan taklimat pakar yang dipanggil menghadap minggu lepas.

Tiada ulasan: