HALAMAN SANTAI

Khamis, 24 Jun 2021

Bicara kes 1MDB Najib bersambung Selasa depan

Bernama

Kes Najib sepatutnya ditetapkan untuk disambung bicara pada Isnin lepas di hadapan hakim namun ditangguh susulan pelaksanaan PKP

Perbicaraan kes berprofil tinggi melibatkan bekas perdana menteri Najib Razak yang menghadapi pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB), akan bersambung 29 Jun di Mahkamah Tinggi.

Timbalan pendakwa raya Ahmad Akram Gharib berkata kes itu sepatutnya ditetapkan untuk sambung bicara pada Isnin lepas (21 Jun) di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah, namun ditangguh susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0.

“Mahkamah sebelum ini menetapkan 28, 29 dan 30 Jun untuk sambung bicara. Tetapi, oleh kerana PKP 3.0 dilanjutkan hingga 28 Jun, maka perbicaraan akan bermula pada 29 Jun,” katanya ketika dihubungi Bernama menerusi aplikasi WhatsApp hari ini.

Peguam Najib, Wan Aizuddin Wan Mohammed dijangka meneruskan pemeriksaan balas saksi pendakwaan ke-10, Mohd Hazem Abdul Rahman, 49, bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, apabila perbicaraan bersambung nanti.

Najib, 67, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Tiada ulasan: