HALAMAN SANTAI

Khamis, 24 Jun 2021

Tak derhaka titah Agong, hanya Najib dan Zahid derhaka kepada parti


Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz membidas kenyataan bekas Presiden, Datuk Seri Najib Razak yang mendakwa pemimpin UMNO menolak sidang Parlimen diadakan segera sebagai derhaka kepada Yang di-Pertuan Agong.

Pemimpin UMNO tidak derhaka kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) walaupun menolak tempoh 14 hari diberikan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebaliknya kumpulan yang ingkar melanggar keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 adalah penderhaka sebenar kepada parti.

Bekas ahli Majlis Tertinggi, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz membidas kenyataan bekas Presiden, Datuk Seri Najib Razak yang mendakwa pemimpin UMNO menolak sidang Parlimen diadakan segera derhaka kepada YDPA walhal sudah terbukti niat gesaan tersebut sebenarnya bertujuan menyokong Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri (PM) dan bekerjasama dengan DAP.

“Macam mana nak buang kita Ahli-Ahli Parlimen yang berdiri teguh dan tegas tak menyokong Anwar?

“Macam mana nak buang kita sebab kita pegang kepada keputusan parti? Jadi silaplah katakan siapa tak sokong Anwar boleh dipecat. Silalah, itu sahaja. Kita akur dengan keputusan PAU 2020,” katanya kepada Agenda Daily.

Najib dalam kenyataan semalam mengecam kumpulan dalam UMNO yang didakwa menderhaka dengan titah Agong dan memberi amaran mereka tidak akan menjadi calon dalam Pilihan Raya Umum (PRU) nanti sebagai tindak balas keingkaran mereka.

Kenyataan bekas PM itu dilihat menyokong pendirian Zahid selepas mesyuarat Biro Politik tempoh hari yang memberikan tempoh 14 hari kepada kerajaan Perikatan Nasional supaya membuka sidang Parlimen dengan segera.

“Kita ini sebagai Ahli Parlimen UMNO kita terikat dengan keputusan PAU 2020 yang telah memutuskan dua perkara,” kata Nazri lagi.

Ketetapan semasa PAU tersebut adalah memutuskan kerjasama dengan PN semasa PRU15 dan bukan sekarang, kedua menolak sebarang kerjasama dengan Anwar dan DAP.

Nazri juga mengingatkan pemimpin UMNO yang tergesa-gesa untuk bekerjasama dengan Anwar supaya tidak membelakangi keputusan yang dibuat oleh perwakilan UMNO semasa PAU lalu dan menjadikan keputusan semasa PRU14 lalu sebagai iktibar untuk tidak mengulangi kesilapan sama.

“Kita tak boleh mendahului perwakilan, yang jelas kita ditolak oleh rakyat pada PRU14.

“Itu jelas kena ingat kembali peristiwa UMNO ditolak oleh pengundi pada PRU14 siapa yang patut jadi pemimpin dan siapa yang tidak patut jadi pemimpin berdasarkan pada keputusan PRU14,” katanya lagi.

Terdahulu, Nazri mendedahkan wujud satu lagi gerakan mengumpulkan surat akuan bersumpah (SD) bertujuan untuk melawan Zahid yang didakwa menjadi ejen kepada Anwar.

Kumpulan tersebut setakat ini berjaya mendapatkan tandatangan 25 daripada 41 wakil rakyat BN untuk menyokong bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Minggu lalu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah bertitah agar sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi membolehkan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan ahli-ahli Dewan Rakyat.

Titah YDPA itu menjadi isu hangat dikalangan blok pembangkang yang mendesak sidang Parlimen disegerakan dan Zahid bersama Najib pula dilihat cenderung senada dengan Anwar yang terus mendesak kerajaan PN.

Untuk rekod, Zahid dan Najib sebelum ini dikaitkan dengan surat sokongan kepada Anwar yang dihantar ke Istana Negara dan juga isu klip audio pakatan sulit Anwar-Zahid yang menjadi perbualan hangat dikalangan pemerhati politik.

Tiada ulasan: