HALAMAN SANTAI

Selasa, 1 Jun 2021

COVID-19: Jangan ingkar nikmat Allah

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR

BERIKUTAN naik mencacaknya angka kes baru COVID-19 dalam negara mencecah 8,290 kes Jumaat 28 Mei lalu, pihak kerajaan melalui Majlis Keselamatan Negara membuat keputusan memperkenalkan semula ‘total lockdown’ atau penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi berkuatkuasa 1 Jun nanti sehingga 14 Jun meliputi seluruh negara.

Semua sektor dilarang beroperasi sepanjang tempoh berkenaan kecuali 17 sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu yang disenaraikan oleh pihak MKN. Seluruh negara seakan melalui perintah berkurung, dilarang keluar rumah kecuali perlu, dilarang merentas daerah dan negeri.

Adalah diharapkan melalui tindakan drastik ini rantaian COVID-19 dalam negara yang naik ke paras tertinggi Sabtu 29 Mei lalu akan mampu diputuskan dan rakyat serta negara dapat pulih dan kembali hidup seperti sediakala pasca pandemik ini namun dengan beberapa norma baru dalam kehidupan mereka.

Dengan langkah ini selain pemberian vaksin yang dijangka mencecah ke 150,000 penerima setiap hari menjelang bulan Jun 2021 ini, Malaysia bakal mewujudkan imuniti kelompok atau ‘herd immunity’ seterusnya keluar dari bahana pandemik ini berperingkat-peringkat sebagaimana negara maju lain yang kini telah mula melonggarkan kawalan masing-masing setelah keadaan negara mereka kembali pulih.

Langkah drastik kerajaan ini pasti mempunyai kesan besar ke atas kehidupan rakyat dan ekonomi dalam negara. Ini terutama buat mereka yang berkerja sendiri dan berniaga kecil-kecilan, selain yang berkerja di sektor yang di luar 17 yang disenaraikan MKN itu. Malah industri pelancongan khasnya akan teruk terjejas termasuklah hotel, pusat-pusat peranginan, restoran, taman-taman tema, yang sudah pasti akan turut menjejaskan ribuan tenaga kerja di bawahnya.

Namun demi menyelamatkan rakyat dan negara, kita tidak punya banyak pilihan selain menghadapi ‘total lockdown’ ini. Berakit-rakit dahulu, berenang-renang ke tepian. Adalah dijangkakan pihak kerajaan akan sekali lagi keluar dengan skim-skim bantuan, subsidi dan moratorium yang akan meringankan bebanan rakyat dan majikan khususnya dalam mengharungi ‘total lockdown’ ini.

Sesungguhnya dalam suasana cemas ini wajar sangat kita bermuhasabah dan menginsafi betapa jauh kita telah hanyut dari tuntutan dan perintah Allah S.W.T malah kita sebenarnya sedar ataupun tidak telah mengundang murka-Nya sehingga kita diuji dengan pandemik yang pada saat artikel ini ditulis telah mengorbankan lebih 2,729 orang dalam negara.

Hari ini kerajaan yang memerintah adalah Kerajaan Perikatan Nasional, bukan lagi Pakatan Harapan yang didominasi DAP. Hari ini yang berkuasa dan menjadi tonggak pemerintahan adalah gabungan parti-parti Melayu Islam terbesar dalam negara dengan anggota kabinetnya lebih 80 peratus terdiri dari umat Islam, sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Lantas dengan kuasa dan kedudukan ini, berhadapan pula dengan ujian besar dari Allah S.W.T, sudah tiba masanya kerajaan menyemak semula keutamaannya. Kerajaan yang didominasi dan didukung parti-parti Melayu Islam ini perlu pastikan yang setiap langkah dan arah yang ia ambil dalam mentadbir dan mengurus negara jangan jauh atau menyimpang dari peraturan dan tuntutan Allah S.W.T.

Jika tidak kita sebenarnya membuka pintu, malah mengundang murka Allah S.W.T yang jika dibalas dengan bala’ akan menimpa seluruh kita sebagaimana firman Allah S.W.T dalam surah al Anfal ayat ke 25 yang bermaksud: 

“Dan peliharalah dirimu daripada azab yang bukan hanya menimpa orang zalim di kalangan kamu sahaja dan ketahuilah Allah amat keras azab seksa-Nya.”

Kaji dan kenal pastilah di mana kita lupa dan gagal dalam pemerintahan sehingga membawa kepada keingkaran terhadap nikmat Allah S.W.T lalu diturunkan kita ujian sebesar pandemik ini. Allah S.W.T berfirman dalam surah al Nahl ayat 112 yang bermaksud:

“Dan Allah telah membuat suatu perumpamaan dengan sebuah negeri yang dahulunya aman dan tenteram, rezekinya datang kepadanya melimpah ruah dari segala tempat akan tetapi penduduknya mengingkari akan nikmat Allah, kerana itu Allah merasakan kepada mereka dengan kelaparan dan ketakutan disebabkan apa yang mereka lakukan”.

Kerajaan PN perlu menyemak dan mengkaji semula aktiviti dan dasar yang dilarang Allah S.W.T, cari jalan supaya ia dapat dikurangkan dan beransur-ansur dihapuskan supaya negara ini kekal sejahtera dan maju tanpa mencetuskan kemurkaan-Nya.

Jika Kerajaan Negeri Kelantan dan Terengganu dapat membendung aktiviti perjudian berlesen, mengapa tidak ia turut dikuatkuasakan berperingkat-peringkat dari negeri-negeri majoriti Islam yang lain dan kemudiannya ke seluruh negara. Judi bukan amalan atau budaya kita, ia ditentang semua agama, inilah masanya kita bertindak.

Benar kebanyakan industri dan aktiviti maksiat yang ada diwarisi dari pemerintahan sebelumnya, namun keadaan dan suasana telah berubah, sebagaimana ditegaskan, yang memerintah hari ini adalah gabungan parti-parti Melayu Islam terbesar dalam negara, tidak sebagaimana sebelumnya, lalu tidaklah keterlaluan jika dengan dominasi ini kita turut membawa dan memperkenalkan perubahan seiring dengan kedudukan yang ada.

Program dan aktiviti yang cenderung pada Islam juga perlu diutamakan. Zaman berhibur sehingga ke peringkat ekstrem dan keterlaluan telah tamat. Hiburan tidak salah tetapi perlulah mematuhi garis panduan yang ditetapkan agama. Suasana politik sekarang menuntut agar amalan yang lama itu ditukar ke arah yang lebih baik mencerminkan sifat kerajaan yang memerintah.

Semasa ‘lockdown’ fasa pertama dahulu kita lihat kerajaan telah mempertingkatkan program kerohanian khasnya di TV dan radio yang seterusnya mempengaruhi media arus perdana. Ini entah bagaimana beransur-ansur susut selepas itu, sewajarnya ia dikembalikan.

Wakil-wakil PAS, Umno dan BERSATU dalam kerajaan masing-masing memikul tanggungjawab memastikan kerajaan bergerak atas landasan Islam dan tidak tergelincir darinya sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:

“Dan selama mana pemimpin-pemimpin mereka tidak berhukum dengan kitabullah dan tidak memilih yang terbaik daripada apa yang Allah telah turunkan kecuali Allah turunkan kepada mereka kesengsaraan (perpecahan) di antara mereka.”

(Hadis Riwayat Imam Ibnu Majah)

‘Lockdown’ dan seterusnya peningkatan pemberian vaksin meliputi seluruh penduduk adalah usaha terbaik kita tetapi berjaya ataupun tidak ia dalam memerangi pandemik ini itu kuasa Allah S.W.T. Lalu sentiasalah kita dekat pada-Nya dan jangan sesekali menyimpang.  – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: