Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar
Tak mustahil UMNO bentuk pakatan baharu bersama parti pembangkang
BANGI – Faktor kerajaan Perikatan Nasional (PN) masih tidak membuka Parlimen mungkin kerana bimbang undi tidak percaya yang akan dibuat pihak pembangkang.
Sekiranya undi tidak percaya kepada Perdana Menteri berjaya, ia pasti akan menjerumuskan senario politik tanah air ke dalam polemik yang lebih besar.
Antaranya keperluan mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) dalam keadaan negara masih belum pulih dari pandemik COVID-19.
Mengulas polemik ini, Setiausaha Agung BERJASA, Ir Ts Muhammad Lukman Al Hakim Mohamad berkata, sebahagian besar pimpinan tertinggi dan ahli politik senior UMNO amat tidak berpuas hati dengan PN dan mendesak persepakatan politik baharu untuk memimpin negara.
“Tidak mustahil UMNO akan keluar PN dan membentuk pakatan baharu bersama PKR, PAN dan DAP sekalipun.
“Selama ini pun UMNO bukanlah pejuang agenda Melayu yang asli (genuine).
“UMNO sekadar memperkudakan DAP untuk menakut-nakutkan orang Melayu serta memperkuatkan keabsahan parti mereka,” dakwanya dalam kenyataan.
Sehubungan itu, beliau mendakwa, tidak mustahil kali ini, UMNO akan memperkudakan DAP sebagai rakan strategik untuk merampas tampuk kepimpinan negara pula.
“Apa-apa pun yang berlaku, saya kuat merasakan pertembungan yang berlaku adalah sekitar survival parti dan periuk nasi para ahli politik sedia ada sahaja, bukannya untuk kepentingan rakyat.
“Kalau betul semua mereka memikirkan kepentingan rakyat dan negara untuk segera pulih dari segi pandemik dan ekonomi, mereka sentiasa boleh memainkan peranan walaupun tanpa Parlimen dibuka,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan