HALAMAN SANTAI

Selasa, 22 Jun 2021

Maszlee sudah masuk PKR selepas keluar Pejuang diterajui Dr M?


Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik dalam sidang video bersama Ahli-Ahli Parlimen PKR.

Tular tangkap layar Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik yang sebelum ini keluar daripada parti Pejuang bersama dalam satu sidang video bermesyuarat bersama Ahli-Ahli Parlimen PKR.

Spekulasi semakin bertiup kencang berhubung status bekas Menteri Pendidikan tersebut yang sebelum ini menarik diri untuk bersama dengan parti ditubuhkan Tun Dr Mahathir Mohamad itu dan mengumumkan menjadi Ahli Parlimen Bebas, bagaimanapun perkembangan mutakhir terkini Maszlee dilihat bergerak aktif bersama PKR malah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (PH).

Tangkap layar sidang video dimuat naik dalam Facebook oleh Ketua Wanita PKR, Fuziah Salleh tersebut diadakan bagi membincangkan isu berhubung pendidikan dan Ordinan Darurat yang turut melibatkan Maszlee dan Ahli-Ahli Parlimen PKR lain.

Untuk rekod, Maszlee belum mengumumkan parti yang disertainya sejak menarik diri untuk bersama dengan parti diterajui Dr Mahathir.

Maslee pada November 2020 mengumumkan penarikan diri daripada Pejuang, selepas beberapa bulan menyertai parti tersebut.

Katanya, beliau mahu menumpukan sepenuhnya usaha untuk membantu rakyat yang terkesan dengan COVID-19 atas kapasitinya sebagai Ahli Parlimen Bebas.

“Saya juga akan meneruskan usaha dalam gerakan perubahan pendidikan melalui kapasiti saya sebagai Ahli Parlimen Bebas dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi kerja kemanusiaan.

Pada Ogos 2020 lalu, Dr Mahathir mengumumkan penubuhan Pejuang yang berasaskan kepada perjuangan Melayu.

Sehingga kini, Pejuang masih belum diluluskan pendaftarannya oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia.

Selain Maszlee, Pejuang turut diasaskan oleh Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; bekas Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Marzuki Yahya; Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh; Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah dan bekas Ketua Bahagian Bersatu Alor Setar, Datuk Mohamad Nuhairi Ahmad.

Tiada ulasan: