HALAMAN SANTAI

Khamis, 24 Jun 2021

PH usahakan petisyen sokong sidang Parlimen secepat mungkin

Astro Awani
PH usahakan petisyen sokong sidang Parlimen secepat mungkin
Majlis Presiden PH berpandangan bahawa penubuhan jawatankuasa tersebut tidak boleh menjadi alasan atau dalih untuk melewatkan sidang Parlimen. - Gambar fail
 
KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) akan mengusahakan satu petisyen di kalangan Ahli-Ahli Parlimen yang akan dipersembah kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bagi membuktikan bahawa majoriti Ahli-Ahli Parlimen menyokong Parlimen bersidang secepat mungkin.
 
Dalam satu kenyataan, Majlis Presiden PH juga menegaskan pihaknya bersedia menyertai jawatankuasa untuk mengkaji sidang Parlimen hibrid dengan syarat persidangan perlu diadakan sebelum 1 Ogos.
 
Majlis Presiden PH berpandangan bahawa penubuhan jawatankuasa tersebut tidak boleh menjadi alasan atau dalih untuk melewatkan sidang Parlimen.
 
"Selaras dengan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan, sidang Parlimen perlu diadakan sebelum 1 Ogos agar Proklamasi Darurat dan Ordinan-Ordinan Darurat dapat dibentang dan dipertimbang Ahli-Ahli Parlimen.
 
"Pada masa yang sama, sidang yang disegerakan ini akan memberi ruang kepada Ahli-Ahli Parlimen untuk membahas Pelan Pemulihan Negara, langkah-langkah mengatasi pandemik COVID-19, dan keperluan meningkatkan bantuan untuk rakyat yang sedang sangat tertekan pada waktu ini," kata kenyataan yang ditandatangani ketua tiga parti komponen PH.
 
Terdahulu, Ahli-ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) bersetuju Parlimen bersidang semula, namun tidak akan menyokong usul undi tidak percaya sekiranya dikemukakan pada sidang berkenaan kelak.

Kumpulan Ahli-ahli Parlimen UMNO dalam satu kenyataan bersama hari ini, berkata mereka 
menjunjung kasih Titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu tentang keperluan mengadakan persidangan Parlimen secepat mungkin serta memperkasa langkah-langkah kawalan penularan wabak COVID-19 dalam negara.
 
Mereka berkata amat mengharapkan sidang Parlimen tersebut dapat memberi tumpuan kepada isu-isu yang dihadapi rakyat dalam mendepani pandemik COVID-19.

Tiada ulasan: