HALAMAN SANTAI

Rabu, 23 Jun 2021

Shahidan digesa jangan tembak dalam gelap, reka cerita kucar-kacirkan keadaan

Seorang Ahli Parlimen PKR menyifatkan pendedahan Shahidan Kassim berhubung 
gerakan mengumpul sokongan untuk Anwar Ibrahim sebagai dakwaan rambang 
yang semberono dan tidak patut dibuat ketika ini.

PETALING JAYA: Ahli Parlimen PKR dan Umno tidak tahu mengenai kewujudan gerakan mengumpul sokongan untuk Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim dilantik perdana menteri seperti didakwa Ahli Parlimen Arau, Shahidan Kassim.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim berharap pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) itu tidak mengada-adakan cerita untuk mengkucar-kacirkan keadaan.

“Shahidan adalah ketua ‘backbencher’ Ahli Parlimen PN di Parlimen, melindungi kerajaan PN adalah tugas nombor satu beliau.

“Cuma harap Shahidan tidak menembak dalam gelap…yang tak ada diada-adakan,” katanya kepada FMT.

Mengulas kewujudan usaha penjajaran baharu antara Umno dan Pakatan Harapan (PH), Hassan berkata, penjajaran baharu itu tidak sesuai dilaksanakan sekarang ketika negara bergelut dengan Covid-19.

“Kecuali jika dalam masa terdekat ini kerajaan PN tumbang kerana Muhyiddin Yassin hilang majoriti sebagai perdana menteri jika Ahli Parlimen Umno tarik sokongan kepadanya.”

Semalam, Shahidan dalam sidang media maya mendedahkan seorang Ahli Parlimen Umno mengaku menandatangani dokumen sokongan untuk Anwar dilantik sebagai perdana menteri.

Katanya, Ahli Parlimen itu memaklumkan beliau menandatangani dokumen sokongan itu 7 Jun lalu di hadapan Anwar dan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi serta seorang “kenamaan”.

Sementara itu Ahli Parlimen Kapar, Abdullah Sani Abdul Hamid menyifatkan pendedahan Shahidan berhubung gerakan mengumpul sokongan untuk Anwar sebagai dakwaan rambang yang semberono dan tidak patut dibuat ketika ini.

“Apa yang penting adalah Parlimen dibuka segera. Di Parlimen, semua perkara boleh dirungkai.”

Beliau bagaimanapun tidak menolak sekiranya penjajaran baharu cuba direalisasikan antara pimpinan tertinggi PH dan Umno.

“Saya setuju jika ia menjadi kenyataan kerana inilah perpaduan Melayu yang sebenar. DAP itu bukan semuanya Cina, PKR pula ada macam-macam bangsa. Setiap komponen itu ada kekuatannya. Waktu ini kita hanya nak selamatkan negara, nak bina semula negara.”

Sementara itu, Ahli Parlimen Padang Rengas, Nazri Aziz yang mengaku terlibat dalam gerakan mengumpul akuan bersumpah (SD) Ahli Parlimen Umno untuk menyokong bendahari Barisan Nasional, Hishammuddin Hussein sebagai jurucakap pakatan itu berkata: “Saya tak tahu-menahu, itu awak kena tanya tukang buat cerita, takkan dia nak menipu.”

Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman menyifatkan pendedahan mengenai gerakan mengumpul SD untuk Anwar sebagai berita baharu.

“Ia satu berita untuk saya. Saya tak tahu apa-apa mengenainya (SD untuk Anwar),” kata ringkas kepada FMT.

Tiada ulasan: