KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak berkata, pemimpin-pemimpin UMNO yang masih membisu atau sudah bersekongkol dengan mereka yang derhaka titah Raja-Raja Melayu dan sistem berparlimen demi kepentingan jawatan sendiri mungkin sudah tidak berminat lagi dengan perjuangan parti itu.
Oleh itu, mereka ini tidak patut dicalonkan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Bekas perdana menteri itu berkata, jika dicalonkan pun, mereka ini akan ditolak rakyat yang sedang menderita.
Malah, sekiranya mereka bertanding dalam pemilihan parti, semua ahli UMNO wajib tolak.
Ini kerana, golongan ini sudah tidak lagi berpaksikan tunjang perjuangan UMNO, kata bekas presiden parti itu.
Najib mengingatkan UMNO ditubuh pada tahun 1946 untuk melawan Malayan Union dan mempertahankan Raja-Raja Melayu serta membebaskan bangsa Melayu dan tanah air.
Antara dua daripada enam tunjang dan tujuan utama UMNO seperti termaktub dalam Fasal 3 perlembagaan UMNO ialah mendukung dan mempertahankan Raja Perlembagaan dan mempertahankan sistem demokrasi berparlimen.
Tegas beliau, inilah asas dan tujuan UMNO wujud.
”Maka ianya wajib bagi semua pemimpin dan ahli UMNO untuk bersuara pada saat titah Raja-Raja untuk menjaga kepentingan Rakyat yang sedang amat sengsara secara berpanjangan, diperlekehkan oleh pihak tertentu dan sistem demokrasi berparlimen telah diancam.
”Sekiranya keadaan negara tidak kritikal dan jelas sudah perlu langkah pemulihan segera, YDP Agong dan Raja-Raja Melayu tidak akan menerima menghadap berpuluh pemimpin parti serta ketua agensi kerajaan dan mengadakan persidangan Majlis Raja-Raja khas untuk mengeluarkan dua kenyataan titah yang amat tegas,” katanya. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan