HALAMAN SANTAI

Selasa, 21 September 2021

Azhar nafi ada campur tangan menteri kanan

Muhammad Azizul Osman

KUALA LUMPUR – Isu Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming dihalang daripada mempengerusikan sidang Dewan Rakyat  sesi petang semalam dianggap selesai.

Ia apabila Yang di-Pertuan Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun menafikan ada cubaan campur tangan badan eksekutif di Dewan Rakyat.

“Saya tidak didorong atau ditekan oleh sesiapa untuk menukar fikiran itu, saya cuma menggunakan kuasa saya untuk bertukar fikiran,” katanya ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo (PH).

Gobind bangun ketika sesi pertanyaaan lisan selesai dengan bertanya mengenai laporan media semalam yang mana melaporkan bahawa Kor Ming dihalang daripada mempengrusikan sidang Dewan Rakyat untuk sesi petang semalam.

Ia didakwa dibuat oleh seroang menteri kanan yang berada dalam Kabinet Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Dalam pada itu, Azhar Azizan mengakui ada meminta untuk Kor Ming menggantikan tempat beliau dalam sesi Dewan Rakyat petang semalam.

Bagiamanapun, keputusan itu ditarik balik Azhar Azizan di saat-saat akhir.

“Saya memang bagi surat kepada (Ahli Parlimen) Teluk Intan dan berterima kasih kepada beliau kerana bersedia untuk menerima permintaan saya.

“Saya tukar fikiran saat-saat akhir dan sememangnya prosiding itu sah, sebab saya balik semula untuk mempengerusikan mesyuarat,” jelasnya.

Isu itu disentuh Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong pada sesi Dewan Rakyat di sebelah pagi dengan bertanya siapakah menteri kanan yang mengarahkan agar Kor Ming tidak dibenarkan mempengerusikan Dewan Rakyat semalam.

Perkara sama turut diketengahkan Godind yang mencabar Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk menjawab pertanyaan Poay Tiong sama ada beliau adalah menteri kanan yang dimaksudkan.

“Saya mencabar (Ahli Parlimen) Gombak adakah beliau menteri kanan tersebut. Berdiri dan jawab soalan itu sekarang. Kalau berani bangun dan jawab soalan itu,” desaknya.

Termakan dengan desakan itu, Mohamed Azmin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri tidak mengesahkan atau menafikan dakwaan yang dibawa Poay Tiong.

“Saya berani kerana ikut peraturan (mesyuarat), ini sesi soal jawab. Kamu sebagai peguam,” katanya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: