HALAMAN SANTAI

Rabu, 22 September 2021

Bidang kuasa pengerusi MPN masih sama walaupun kini bukan PM, kata Muhyiddin

Ahmad Mustakim Zulkifli dan Nur Shazreena Ali

Muhyiddin berkata, beliau dan penggantinya Ismail Sabri Yaakob sudah mencapai kata sepakat berhubung bidang kuasanya sebagai pengerusi MPN. 

Skop tugas dan tanggungjawab pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) masih lagi sama walaupun sudah tidak menjadi perdana menteri, kata Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin berkata, beliau dan penggantinya Ismail Sabri Yaakob sudah mencapai kata sepakat berhubung bidang kuasanya sebagai pengerusi MPN.

“Waktu dahulu saya pengerusikan sebagai perdana menteri, sekarang saya pengerusikan sebagai mantan perdana menteri.

“Tapi yang baiknya perdana menteri berkata, buat macam dulu. Maknanya kalau ada keputusan yang dicapai MPN, kita laksanakan terus kecuali perkara yang berkaitan kewangan,” katanya dalam temu ramah bersama Astro Awani hari ini.

Tambah beliau, keputusan yang membabitkan kewangan perlu dibawa ke Kabinet terlebih dahulu.

Katanya, menerusi cara sedemikian, keputusan MPN boleh dijalankan tanpa berlengah-lengah.

Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali pada awal bulan lalu mengumumkan pelantikan Muhyiddin sebagai pengerusi MPN bertaraf menteri selepas dipersetujui Kabinet.

MPN merupakan inisiatif Muhyiddin ketika beliau masih perdana menteri.

MPN ditubuhkan pada Julai bagi menggantikan Jawatankuasa Khas Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan berfungsi memantau pelaksanaan PPN ketika Malaysia beralih kepada fasa endemik.

Cadangan asal penubuhan MPN disuarakan oleh bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Mahathir pernah menawarkan diri untuk meletakkan jawatan sebagai pengeruis Pejuang untuk mengetuai MPN.

Ini kerana katanya MPN tidak boleh dianggotai ahli politik.

Ismail dalam ucapan pertama setelah dilantik sebagai perdana menteri turut menawarkan ruang kepada pemimpin pembangkang untuk menganggotai MPN sebagai satu bentuk kerjasama rentas parti.

Muhyiddin menambah, beliau kini mengadakan sesi turun padang bagi meninjau sendiri pelaksanaan PPN di seluruh negara.

Tiada ulasan: