HALAMAN SANTAI

Selasa, 21 September 2021

Deepak gagal hidupkan saman terhadap Najib, Rosmah dan Azeez

BERNAMA

Keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan ketiga-tiga mereka menggugurkan saman tersebut dikekalkan.

Pengarah Carpet Raya Sdn Bhd JR Deepak Jaikishan dan dua lagi gagal menghidupkan saman terhadap bekas perdana menteri Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor serta ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim berhubung cukai yang dikenakan ke atas mereka selepas didakwa bertindak sebagai proksi pasangan itu.

Ini susulan tindakan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan menolak permohonan mereka untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan Najib, Rosmah dan Azeez bagi membatalkan saman itu.

Hakim Mohamad Zabidin Mohd Diah, yang mengetuai panel itu, dalam keputusan sebulat suara berkata saman yang difailkan oleh Deepak, Carpet Raya dan adik lelakinya J. Rajesh, juga pengarah syarikat tersebut, adalah tidak kukuh dan akan gagal jika perbicaraan diteruskan.

“Kami mendapati pesuruhjaya kehakiman Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf dalam memutuskan bahawa saman itu adalah kes yang jelas untuk dibatalkan. Oleh itu, kami memutuskan bahawa tidak ada merit dalam rayuan ini dan menolaknya dengan kos RM10,000 untuk Najib serta Rosmah dan RM10,000 untuk Abdul Azeez.

“Keputusan Mahkamah Tinggi dikekalkan,” kata Zabidin yang bersidang bersama-sama Azizah Nawawi dan S Nantha Balan.

Panel itu membuat keputusan selepas mendengar hujah peguam Daniel Annamalai, yang mewakili perayu, peguam David Mathews, yang mewakili Najib dan Rosmah serta peguam Prem Ramchandran bagi pihak Azeez.

Pada 16 Julai tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Najib, Rosmah dan Azeez untuk membatalkan saman itu selepas memutuskan bahawa penyataan tuntutan tidak mendedahkan kausa tindakan yang munasabah iaitu elemen penting bagi menyokong dakwaan konspirasi untuk mencederakan, misfeasans dalam jawatan awam serta pelanggaran kewajipan.

Ketiga-tiganya memfailkan permohonan untuk membatalkan saman itu pada 24 September 2019 atas alasan ia adalah menyusahkan dan plaintif tidak mempunyai kausa untuk menyaman mereka.

Menerusi saman yang difailkan pada 15 November 2018, Deepak mendakwa antara tahun 2004 dan 2010, beliau dan syarikat itu telah bertindak sebagai ejen serta proksi kepada Najib dan Rosmah dalam urus niaga tanah serta urusan perniagaan seperti yang diarahkan oleh pasangan tersebut.

Beliau juga mendakwa Azeez telah bertindak sebagai ejen bagi Najib dan Rosmah untuk menjalankan urus niaga serta menjadi pengantara pasangan itu dan Carpet Raya.

Deepak mendakwa ekoran urus niaga itu, beliau telah menerima surat daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bertarikh 2 Mac 2018 supaya menyelesaikan tunggakan cukai yang dikenakan ke atas Carpet Raya dan cukai pendapatannya yang berjumlah lebih RM6 juta tidak termasuk caj penalti serta faedah.

Deepak mendakwa beliau telah menerima surat LHDN selepas hubungannya dengan pasangan itu keruh pada 2012 susulan keengganannya mengikut arahan mereka dalam kes sivil membabitkan penyiasat persendirian P Balasubramaniam, dan Azeez mengetahui perkara tersebut.

Beliau mendakwa Najib dan Rosmah turut mengarahkan tindakan perundangan diambil oleh LHDN terhadap Carpet Raya dan petisyen penggulungan difailkan terhadap syarikat itu pada 22 Mac 2017 malah petisyen tersebut disiarkan dalam akhbar.

Plaintif mendakwa petisyen itu telah menyebabkan perniagaan dan reputasi mereka terjejas manakala Deepak turut dilarang meninggalkan Malaysia selain kemudahan perniagaan mereka ditarik balik oleh Maybank dan kontrak syarikat dengan Ikea telah dibatalkan.

Mereka memohon deklarasi mahkamah bahawa Najib dan Rosmah bertanggungjawab untuk membayar tunggakan cukai yang dikenakan ke atas syarikat itu serta menuntut ganti rugi sebanyak RM500,000 yang dibayar kepada Maybank, RM47 juta untuk ketidakupayaan syarikat untuk memenuhi kontrak dan jualannya, RM74 juta bagi pembatalan kontrak syarikat itu dengan Ikea, RM200 juta bagi fitnah dan RM37 juta untuk kerugian yang didakwa disebabkan oleh salah laku Najib.

Plaintif turut menuntut ganti rugi teruk dan teladan sebanyak RM100 juta.

Tiada ulasan: