HALAMAN SANTAI

Rabu, 22 September 2021

Mahkamah Rayuan batal saman peguam cabar kesahan pengampunan diraja Anwar

 BERNAMA

Hakim berkata dakwaan Mohd Khairul Azam terhadap perayu jelas tidak kukuh kerana beliau tidak menyatakan sebarang alasan tindakan saman tersebut.

Mahkamah Rayuan hari ini membatalkan saman difailkan seorang peguam yang mempersoalkan kesahan pengampunan diraja yang diperoleh Anwar Ibrahim bagi sabitan kes liwatnya.

Semasa membatalkan saman oleh Mohd Khairul Azam Abdul Aziz, mahkamah membenarkan rayuan Anwar dan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan mereka untuk membatalkan saman itu.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang terdiri daripada Has Zanah Mehat, Mohd Sofian Abd Razak dan Lee Heng Cheong memutuskan bahawa dakwaan Mohd Khairul Azam terhadap perayu jelas tidak kukuh kerana beliau tidak menyatakan sebarang alasan tindakan terhadap mereka.

Dalam penghakimannya, hakim Has Zanah yang mengetuai panel hakim itu berkata Mohd Khairul Azam tidak mempunyai hak untuk mempersoalkan pengampunan atau nasihat yang diberikan oleh Lembaga Pengampunan itu kepada Yang-di Pertuan Agong dalam memberi pengampunan.

“Kami mendapati proses pengampunan dan pemberian pengampunan oleh Yang-di Pertuan Agong kepada perayu (Anwar) tidak dalam apa cara pun menyerang peribadi atau undang-undang atau sebarang hak atau kepentingan responden (Mohd Khairul),” katanya.

Beliau berkata keputusan dibuat berdasarkan pelaksanaan hak pengampunan diraja tidak dapat diubah atau disahkan oleh mahkamah dan oleh itu tidak dapat diadili.

Kuasa pengampunan terdapat di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, kata beliau dan menambah bahawa kuasa itu tidak terhad hanya kepada hukuman tetapi juga atas sabitan.

Beliau berkata mahkamah mendapati hakim Mahkamah Tinggi membuat kesilapan apabila tidak mengikuti senarai kuasa mahkamah yang telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

Hakim itu berkata mahkamah juga mendapati Lembaga Pengampunan dibentuk secara sah dan betul di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Pada 21 September tahun lepas, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Anwar dan Lembaga Pengampunan untuk membatalkan saman pemula itu selepas memutuskan Mohd Khairul Azam, mempunyai locus standi bagi emulakan saman itu kerana beliau adalah orang awam dan berkelayakan sebagai peguam.

Anwar, memfailkan permohonan untuk membatalkan saman itu atas alasan Azam tidak mempunyai locus standi atau kedudukan di sisi undang-undang untuk meneruskan tindakan saman tersebut, tuntutan saman plaintif remeh, mengaibkan serta suatu penyalahgunaan proses mahkamah.

Mohd Khairul Azam, yang memfailkan saman pemula itu pada 26 Februari tahun lepas, menamakan Lembaga Pengampunan dan Anwar selaku defendan, mendakwa beberapa tindakan tidak berperlembagaan telah diambil bagi memastikan Anwar menerima pengampunan yang membebaskannya dari penjara selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14.

Peguam itu mendakwa pengampunan penuh yang diberikan kepada Anwar oleh Yang di-Pertuan Agong bercanggah dengan Perkara 42(4) dan (5) Perlembagaan Persekutuan berikutan kuasa pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong hendaklah dilaksanakan atas nasihat Lembaga Pengampunan.

Dakwanya pada ketika itu Lembaga Pengampunan belum dibentuk dengan sempurna berikutan negara baru selesai menjalankan PRU ke-14 pada 9 Mei 2018 dan dalam proses membentuk kerajaan baru.

Anwar telah dihukum penjara lima tahun kerana meliwat pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan dan sabitan serta hukuman itu dikekalkan Mahkamah Persekutuan pada 10 Feb 2015.

Dalam prosiding secara dalam talian hari ini, mahkamah mendengar hujah peguam Gopal Sri Ram yang mewakili Anwar, Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan bagi pihak Lembaga Pengampunan serta peguam Mohamed Haniff Khatri Abdullah yang mewakili Mohd Khairul Azam.

Sri Ram berhujah bahawa hakim Mahkamah Tinggi tidak mempunyai kuasa untuk tidak mematuhi keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Sim Kie Chon lawan Superintenden Penjara Pudu & lain yang menyatakan bahawa kuasa pengampunan yang diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan adalah hak belas kasihan, hanya diberikan kepada Yang di-Pertuan Agong atau pemerintah mana-mana negeri di Malaysia.

Suzana berhujah bahawa Mohd Khairul Azam mesti membuktikan bagaimana beliau terkesan dengan keputusan Lembaga Pengampunan dan alasan yang diberikan dalam pernyataan tuntutannya tidak memenuhi prinsip undang-undang yang ditetapkan oleh keputusan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini.

Sementara itu, Mohamed Haniff Khatri dalam hujahnya berkata hanya ada pengampunan ke atas hukuman dan bukan atas sabitan dan menambah bahawa isu-isu tersebut tidak pernah diputuskan di mana-mana mahkamah dan saman perlu dibicarakan.

Tiada ulasan: