HALAMAN SANTAI

Rabu, 22 September 2021

Nazri dedah kisah ‘buku hitam’ Mahathir yang gerunkan menteri

MalaysiaNow

Ahli Parlimen Umno yang lantang itu berkata beliau masih lagi seorang peminat bekas pemimpin parti itu walaupun kini berbeza pandangan politik.

Bekas menteri Nazri Aziz mengenang hari-harinya ketika berkhidmat sebagai menteri Kabinet di bawah pimpinan Dr Mahathir Mohamad terutamanya mengenai apa yang digambarkannya sebagai “buku hitam” yang sering dibawa bekas perdana menteri itu.

“Dia terkenal dengan buku hitam dia. Bila dia keluarkan buku hitam dalam mesyuarat Kabinet, mulalah takut siapa yang kena nanti,” kata Nazri yang berkhidmat sebagai ahli Parlimen lebih dari 25 tahun dalam program temu bual MalaysiaNow, Talk, Now.

Nazri memegang pelbagai jawatan kerajaan dan politik semasa kali pertama Mahathir mengetuai kerajaan termasuk pengerusi Mara dan ketua Pemuda Umno.

Di bawah pimpinan Mahathir, Nazri turut bekhidmat sebagai timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, timbalan menteri kewangan dan menteri pembangunan usahawan.

Beliau merupakan antara penentang utama Mahathir ketika bekas perdana menteri itu mengetuai usaha menggulingkan pentadbiran Najib Razak.

Nazri juga sempat digelar biadab ketika menyerang pemimpin veteran tersebut namun tidak mengalah sekali gus membidas pengkritiknya dengan mengatakan Mahathir juga bersikap kurang ajar terhadap Tunku Abdul Rahman ketika akhir 1960-an.

“Masa itu saya berumur 15 tahun dan sebagai orang muda, saya melihat ia merupakan fenomena baru. Saya tengok Mahathir ni lain jadi saya terikut-ikut dengan dia,” kata Nazri kepada pemberita sebulan sebelum kerajaan Barisan Nasional tumbang pada Mei 2018.

Ketika ditemu bual MalaysiaNow baru-baru ini, ahli Parlimen Padang Rengas itu mengakui beliau masih kekal menjadi peminat Mahathir walaupun berbeza pandangan dalam politik sambil menambah ketika berkhidmat dengan pemimpin veteran itu beliau berdepan dengan keadaan senang dan susah.

“Dia perdana menteri selama 22 tahun. Saya cukup senang bekerja dengan dia dan juga cukup susah, sebab kita sentiasa berhati-hati,” kata Nazri.

Beliau berkata sesiapa yang menganggotai Kabinet Mahathir perlu sentiasa bersedia dan berdisiplin.

“Jadi senang, kalau kita buat kerja, dia sukalah. Susah sebab dia ada pressure, bukan dia pressure kita, tapi dia punya aura dengan waktu itu umur sudah 60 tahun lebih, saya baru 40 lebih dah jadi menteri, jadi kita terlalu hormat dan respect. Jadi ini menyebabkan kita rasa takut,” katanya.

Menurut Nazri, jika seseorang ada keberanian untuk bercakap secara berdepan menyatakan pandangan di depan Mahathir, mereka tidak akan menghadapi masalah.

“Jangan cakap benda tak betul, itu saja.”

Beliau turut mengenang secebis nasihat dari Mahathir yang mengatakan sebagai anggota kerajaan mereka perlu jadi “lebih putih dari putih”.

“Bermakna bagi orang politik, kalau dituduh sahaja, itu sudah mencukupi untuk kita melepas jawatan.

“Dia pesan apa perlu pakai kereta cermin gelap, sebagai timbalan menteri, kena dilihat dan telus supaya rakyat nampak,” katanya.

‘Apa yang anda tengok, itulah yang anda dapat’

Nazri turut berkata selain “buku hitam”, Mahathir juga selalu membawa kamera ke mana-mana.

Beliau berkata Mahathir akan mengambil gambar dalam lawatan-lawatannya, hal itu akan menjadi bukti untuk memperkuatkan nota-nota yang beliau catat dalam buku tersebut.

“Jadi saya senang dan susah juga sebab dia memang satu orang yang betul-betul strict. Tapi kita enjoy, tak ada masalah.”

Nazri berkata beliau banyak belajar dari Mahathir sejak masih menjadi pelajar di United Kingdom (UK) pada 1970-an.

Beliau berkata, Mahathir juga biasa melawat UK sebagai menteri pendidikan.

“Dia datang bagi ucapan di Dewan Malaysia di London, saya selalu ikuti ucapan dia.”

Namun, kata Nazri, minat beliau terhadap bekas pemimpin Umno itu hanyalah pada sudut sikapnya yang sentiasa berterus-terang dalam menyampaikan pendapat peribadi.

“Dia satu orang yang apa yang dia fikir, dia cakap, apa yang kita tengok, kita dapat. Dia tak berlakon,” tambahnya.

LIHAT VIDEO DI SINI

Tiada ulasan: