HALAMAN SANTAI

Rabu, 22 September 2021

‘Orang ramai anggap Dewan Rakyat dicemari korupsi politik’

Siti Fatimah

Kuasa politik ditukar ganti dengan sokongan untuk dapat kedudukan dalam parti

BANGI – Rakyat kini beranggapan Dewan Rakyat telah dicemari dengan amalan korupsi politik dan gagal menjalankan tugasnya, demikian dakwa Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

“Keadaan ini seolah-olah seperti sudah jatuh ditimpa tangga oleh kerana orang ramai berada di dalam keadaan terdesak di mana mereka menghadapi penderitaan amat sangat yang tidak pernah berlaku dalam sejarah negara.

“Pada pandangan orang ramai, Dewan Rakyat tidak lagi dihormati dan disanjungi seperti suatu ketika dahulu. Orang ramai sering berasakan bahawa Dewan Rakyat kini dipengaruhi dan dimanipulasi melalui korupsi politik.

“Mereka juga berasakan bahawa ia adalah cara memperkaya beberapa orang sahaja sementara orang ramai keciciran. Orang ramai percaya bahawa Dewan Rakyat kini dilanda kekotoran korupsi politik,” katanya seperti dilapor Astro Awani.

Bagaimanapun, beliau berkata, korupsi politik sukar ditakrifkan kerana ia berlaku dalam berbagai bentuk.

“Bukti berlakunya korupsi politik ini ada kalanya kelihatan dan ada kalanya tertutup,” dakwanya ketika membahaskan usul Menjunjung Kasih dan Titah Diraja pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Pada masa sama, Tengku Razaleigh atau lebih dikenali sebagai Ku Li kesal dengan amalan politik negara yang berbaur menjadi rasuah, apabila kuasa politik ditukar ganti dengan sokongan untuk mendapat kedudukan dalam parti.

Perkara itu berlaku apabila adanya sistem berat sebelah dan ganjaran kewangan berperingkat.

“Rasuah politik membahayakan. Kita harus menghapuskan musuh dalam selimut ini sekiranya kita benar-benar hendak mempertahankan sumpah berperlembagaan untuk ‘menyimpan, menjaga keselamatan dan mempertahankan’ Perlembagaan kita,” katanya. 

Tiada ulasan: