Saifuddin Nasution IsmailKUALA LUMPUR – Pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) mengecewakan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menerusi ciapan Twitternya petang ini, menyifatkan Muhyiddin sebagai pemimpin yang gagal ketika memegang jawatan Perdana Menteri selama 17 bulan.
“Beliau ketika memegang tampuk pemerintahan negara telah gagal menguruskan respon negara dalam wabak Covid-19 sama ada dari segi kesihatan, ekonomi mahupun pendidikan.
“Muhyiddin juga bertanggungjawab atas penderitaan rakyat ketika ini,” katanya mengulas pelantikan bekas Perdana Menteri itu sebagai Pengerusi MPN bertaraf menteri.
Pelantikan itu diumumkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali yang dilaporkan berkata, telah disembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.
Katanya, pelantikan itu atas dasar kepercayaan kerajaan terhadap kemampuan Muhyiddin untuk menerajui strategi pemulihan negara demi mencapai impak ekonomi terbaik dan memulihkan semula kehidupan rakyat yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.
Menurut Saifuddin Nasution, Ahli Parlimen Pagoh itu juga bertanggungjawab melaksanakan darurat, kononnya dengan tujuan memerangi Covid, tetapi wabak itu menjadi lebih serius di akhir darurat.
“Pengakhiran darurat pula dibuat tanpa perbahasan di Parlimen sehingga Istana Negara sendiri menegur tindakan kerajaan pimpinannya mengelirukan Parlimen, sekali gus membawa kepada kejatuhan beliau,” katanya.
Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu itu kemudian menyifatkan pelantikan Muhyiddin sebagai Pengerusi MPN menambah satu lagi lapisan birokrasi yang tidak wajar kerana Muhyiddin masih perlu membentangkan saranan MPN kepada Jemaah Menteri dahulu.
Beliau mempersoalkan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang seolah tidak yakin dengan barisan menterinya.
“Adakah Ismail Sabri tidak yakin dengan menteri-menterinya dan sejauhmana Muhyiddin bersedia memberi saranan kepadanya untuk membatalkan atau menambahbaik mana-mana dasar pengurusan pandemik yang digubal semasa Muhyiddin menjadi Perdana Menteri?
“Adakah akan ada kecenderungan bekas Perdana Menteri itu cuba mempertahankan legasinya, bukan menilainya secara objektif?,” soal beliau.
Justeru, beliau menganggap kehadiran Muhyiddin dalam Kabinet baharu
Ismail Sabri bertujuan survival politik Naib Presiden UMNO itu
semata-mata, tetapi pada masa sama, sampai bila rakyat dan negara perlu
menjadi korban kepentingan politik. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan