Bernama

Abdul Karim berkata SPR juga perlu memastikan sistem itu benar-benar berkesan. - Gambar fail
KUCHING:
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) disaran untuk menimbangkan pelaksanaan
proses pengundian secara digital sebagai salah satu langkah membolehkan
Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 dilaksanakan dengan lebih
selamat ketika pandemik COVID-19.
Naib
Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Abdul Karim Rahman
Hamzah yang membuat saranan itu berkata SPR juga perlu memastikan sistem
itu benar-benar berkesan sebelum ia dilaksanakan.
"Bagi
saya kita sekarang berada di era digital dan pastinya semua rakyat
sudah tahu parti mana yang mereka mahu undi menjelang pilihan raya ini,"
katanya menerusi rakaman video di akaun Facebook beliau hari ini.
Beliau
yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak berkata
kaedah lain yang boleh digunakan adalah dengan memanjangkan tempoh
pengundian sehingga sebulan seperti yang pernah dilakukan pada
tahun-tahun 1970an.
"Apa yang penting
adalah untuk memastikan proses pilihan raya dan pengundian dapat
dijalankan dengan lebih terkawal bagi mengelakkan penularan wabak
COVID-19," kata Ahli Dewan Undangan Negeri Asajaya itu.
Yang
di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
dalam satu warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 30 Julai berkenan
mengisytiharkan Proklamasi Darurat (Sarawak) di seluruh negeri itu mulai
2 Ogos ini sehingga 2 Feb tahun depan, sekali gus menggantung PRN
daripada diadakan dalam tempoh berkenaan.
Seri
Paduka bertitah perisytiharan itu berikutan wabak COVID-19 yang sedang
berlaku telah mengancam keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman
awam.
Bagaimanapun, Seksyen 2(2) Ordinan
Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (Sarawak) 2021 yang dikeluarkan berikutan
Proklamasi Darurat Sarawak itu menyatakan Seri Paduka boleh menamatkan
proklamasi itu lebih awal setelah berunding dengan Yang Dipertua Negeri
Sarawak.
Dewan Undangan Negeri (DUN)
Sarawak sepatutnya terbubar pada 7 Jun lepas menurut Fasal (3) Perkara
21 Perlembagaan Negeri Sarawak bagi membolehkan pilihan raya negeri
diadakan, namun fasal berkenaan tidak mempunyai kuasa menurut perenggan
15(1)(a) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menggantung
pembubaran DUN itu.-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan