HALAMAN SANTAI

Selasa, 21 September 2021

Tun M gesa aktiviti lompat parti diharamkan

MGF14122020_PC-TUN-M-DAN-KULI02
Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berpandangan amalan lompat parti oleh sesetengah ahli Parlimen perlu diharamkan.

Jelasnya Ahli Parlimen Langkawi itu, tindakan seumpama itu perlu dihentikan segera kerana ia akan membuatkan Pilihan Raya Umum (PRU) tidak ada makna kepada demokrasi berparlimen negara.

“Saya harap cara ini tidak diamalkan di masa hadapan, untuk ini kita perlu mengadakan undang-undang yang melarang lompat parti.

“Namun demikian ia tidak semudah itu dengan hanya mengharamkan aktiviti ini kerana ada kalanya diadakan PRU tidak ada satu pun parti yang mempunyai cukup kerusi untuk mendirikan kerajaan.

“Dalam kerajaan sebegitu, adalah ada keperluan parti lain untuk bersama-sama parti yang mendapat jumla kerusi yang terbesar supaya bilangan wakil rakyat dalam kerajaan melebihi separuh daripada bilangan kerusi Dewan Rakyat,” katanya dalam perbahasan titah diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Justeru itu, Mahathir selaku Pengerusi Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) mahu agar akta yang bakal digubal kelak mengambil kira bentuk kajian sebelum sebarang keputusan diambil oleh kerajaan.

“Soal lompat parti ini perlu dikaji dengan mendalam supaya ia membolehkan dewan ini bergerak dengan licin tanpa gangguan oleh perbuatan mana-mana pihak daripada Dewan Rakyat,” katanya lagi.

Baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) yang baharu, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyatakan antara fokus beliau adalah memperkenalkan akta anti-lompat parti, transformasi Parlimen, mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Malah bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said turut meminta agar rang undang-undang antilompat parti dibentangkan di Dewan Rakyat dengan secepat mungkin.

Katanya, akta itu perlu diwujudkan dengan segera kerana amalan parti bukan saja tidak adil kepada rakyat, tetapi juga terhadap parti politik yang telah berbelanja besar bagi perolehan data dan hal-hal lain ketika PRU. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: