HALAMAN SANTAI

Ahad, 19 September 2021

UMNO Harus Berubah, Bersaing Dalam Politik Dinamik – Mohamad Hasan

UMNO ONLINE

SEREMBAN – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berpandangan politik tanah air sekarang ini telah menjadi suatu yang amat rencam dan keadaannya tidak seperti dahulu.

Jelasnya, ianya seolah-olah seperti ‘stereo type’ tetapi politik sekarang merupakan satu dinamik yang baru.

“Political dinamik’… ia berubah dan bersaing dengan begitu hebat sekali sehinggakan kadang-kadang ia berubah setiap hari. Seperti contoh pada hari ini lain isu dan esok pagi pun sudah lain isu kerana keadaan memerlukan untuk kita mengubah pandangan dan pendirian.

“Kita memerlukan satu keanjalan yang amat tinggi kerana kita tidak boleh duduk dalam satu situasi yang selesa dengan sebegitu lama tanpa memikirkan perubahan yang di luar dengan begitu rancak dan cepat berubah.

“Kalau ini berlaku, UMNO mungkin tidak mampu untuk berdaing saing dan juga untuk berubah. Berubah bukan kerana kita hendak ubah tetapi terpaksa berubah kerana keadaan yang berubah begitu cepat kalau tidak akan ketinggalan,” katanya pada majlis penyampaian hadiah pertandingan Pidato Online anjuran PUMAS peringkat Negeri Sembilan, semalam.

Turut hadir Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan; Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim; Ketua Penerangan UMNO Negeri Sembilan, Mustafa Nagoor; Ketua Wanita UMNO Negeri, Latteffah Aliyaru Kunju; Ketua Pemuda UMNO Negeri, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir dan Ketua Puteri UMNO Negeri, June Artisha Mohamad Nazari.

Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Rantau mengharapkan agar ahli-ahli UMNO menjadi agen dalam perubahan politik terkini.

 

“Kalau kita mahu menjadi pemain utama kita tidak boleh mengamal satu sistem dan kita mesti merupakan pemain ‘total UMNO’ … ianya mesti bermain dengan begitu rupa sehinggakan orang hendak membaca langkah agak susah tetapi kita tahu apa yang hendak lakukan namun jangan sampai orang membaca langkah kita.

“Alhamdulillah… nampaknya parti UMNO dapat memandang dan menjurus ke arah itu dan tidak lagi menjurus kepada satu platform. Inilah yang akan diikuti sehingga pengakhiran hayat,” katanya lagi.

Tambah Mohamad, UMNO adalah sebuah organisasi yang besar dan kepimpinannya harus mengikut keadaan semasa agar rakyat sentiasa berpaut kepada UMNO.

“Saya rasa kalau UMNO mahu menjadi sebahagian daripada pemain utama politik negara, kepimpinan UMNO tidak boleh lagi mengamalkan cara kepimpinan lama dan memastikan UMNO terus boleh bersaing, menerima dan juga memberi supaya dapat dilihat sebagai satu institusi yang boleh menjadi tempat pautan kepada rakyat.

“Inilah tempat untuk orang berpaut kerana tidak begitu rigid dan dalam masa yang sama mempunyai suatu prinsip, inilah yang UMNO sedang lakukan dan Alhamdulillah… perlahan-perlahan UMNO lakukan dan akhirnya berjaya,” ujarnya.

Ujarnya lagi, apa saja yang UMNO lakukan perlu menganjalkan diri dan jangan sampai UMNO mengalami kerugian.

“Kalau berniaga jangan rugi, paling tidaknya modal kita jangan hilang. Kalau baik kita untung dan jika buat sesuatu tetapi merugikan kita ianya tidak guna juga, ini yang sedang kita buat.

“UMNO harus menjadi induk sebab kita tidak pernah belajar menjadi ‘anak ayam’ dan kita menjadi induk ayam. Induk ayam yang boleh menjaga anak-anak walaupun warnanya berbeza tetapi tidak memilih warna tetapi boleh membesarkan dan itulah keanjalan yang perlu ada pada UMNO,” ujarnya. – UMNO Online

Tiada ulasan: