HALAMAN SANTAI

Isnin, 19 Mei 2008

Kawalan dipercepat - Ekoran harga beras naik melebihi paras siling – Shahrir
Oleh luqman haziq


JOHOR BAHRU – Ekoran perbuatan para peniaga menaikkan harga beras sewenang-wenangnya, kerajaan mungkin mempercepatkan pelaksanaan kawalan harga ke atas beras Super Spesial Tempatan (SST) lima dan 10 peratus hancur daripada cadangan asal pada 1 Jun ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad berkata, beliau akan mencadangkan pelaksanaan harga kawalan beras itu dipercepatkan pada mesyuarat Jawatankuasa Menangani Inflasi yang akan diadakan Selasa ini.

Kerajaan sebelum ini menetapkan harga beras Super Tempatan (ST) 15 peratus hancur ditetapkan antara RM1.65 dan RM1.80 sekilogram selain memperluaskan harga kawalan ke atas beras SST lima peratus pada RM2.80 sekilogram manakala beras SST 10 peratus pada RM2.70, berkuat kuasa 1 Jun ini.

Sebelum ini, kedua-dua beras gred SST lima peratus dan SST 10 peratus tidak dikenakan kawalan harga.

Menurut Shahrir, demi kepentingan pengguna, beliau mahu pelaksanaan kawalan harga ke atas SST lima dan SST 10 peratus dipercepatkan walaupun sebelum ini diputuskan ia hanya akan dilaksanakan mulai 1 Jun ini.

“Ekoran kenaikan harga beras di pasaran, ada peniaga didapati menjual beras SST lima dan 10 peratus pada harga lebih RM3 sekilogram sedangkan ia disyorkan dijual pada RM2.80 dan RM2.70 sekilogram.

“Ada juga peniaga yang enggan menjual beras ST 15 peratus kerana keuntungan yang diperoleh amat minimum sebab ia dikawal dan hanya dibenar dijual antara RM1.65 hingga RM1.80 sekilogram,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan ulang tahun ke-28 Persatuan Pemborong Ikan Johor di sini hari ini.

Shahrir yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru berkata, sejak harga beras naik mendadak beberapa bulan lalu, terdapat pertambahan permintaan pengguna terhadap beras tempatan ST 15 peratus.

“Sebelum ini beras jenis itu hanya dibeli oleh pemborong, pengusaha kedai makanan dan pekerja asing merangkumi kira-kira 10 peratus penggunaan. Saya yakin permintaannya kini telah meningkat kepada 20 peratus,” ujar beliau.

Shahrir memberi amaran, jika peniaga tidak mahu menjual beras ST 15 peratus kerana ia memberikan keuntungan minimum, kementeriannya bersedia menggerakkan satu program khusus untuk menjual sendiri beras jenis itu.

“Kalau peniaga tidak berminat hendak menjual, kementerian boleh jual beras jenis itu di pusat jualan di pejabat-pejabat kerajaan, persatuan pengguna, cawangan kementerian, pejabat daerah dan pejabat badan-badan bukan kerajaan.

“Kita boleh uruskan kerana ini untuk kepentingan pengguna khasnya yang berpendapatan rendah.

“Malah, saya puji langkah Persatuan Pengilang Beras Alor Star, Kedah yang menjual sendiri beras ST 15 peratus tanpa melalui peniaga dan peruncit demi kebaikan orang ramai,” katanya.

Mengenai dakwaan berlaku kenaikan harga daging import dari India sehingga RM9.50 sekilogram berbanding RM6 sebelum ini, Shahrir mengakui beliau ada mendengar mengenai perkara itu.

Beliau berjanji akan menyiasat kenaikan harga daging import itu dan mengemukakan beberapa cadangan pada mesyuarat Jawatankuasa Menangani Inflasi.

Antara punca kenaikan itu ialah wujud monopoli syarikat pengimport dan amalan perdagangan kurang baik yang diamalkan oleh pihak-pihak yang terlibat.

Sementara itu, beliau turut mencadangkan agar Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dijemput memberikan taklimat kepada Jawatankuasa Menangani Inflasi berkaitan jumlah subsidi yang sesuai yang harus diberikan kepada golongan nelayan.

Katanya, nelayan perlu mendapat insentif sesuai yang dapat meningkatkan hasil tangkapan dan pendapatan mereka serta pada yang sama membantu kerajaan mengawal harga ikan di pasaran.

Tiada ulasan: