HALAMAN SANTAI

Isnin, 19 Mei 2008

Ijtimak PAS Selangor Isnin bakal panas !
Siasah


SHAH ALAM : Ijtimak atau konvensyen PAS Selangor Isnin ( 19 Mei 2008 ) dijangka panas dengan pelbagai isu dalaman selepas PAS bersama Pakatan Rakyat berjaya mentadbir Selangor selepas pilihan raya umum 8 Mac lalu di samping berjaya menghantar ramai wakilnya ke Dewan Rakyat.

Konvensyen itu akan dirasmikan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang manakala Datuk Husam Musa, Naib Presiden dan Mohamed Hanipa Maidin, peguam yang juga AJK PAS Pusat bakal membentangkan kertas kerja masing-masing.

Konvensyen yang akan diadakan di Komplek Belia Selangor itu akan disertai kira-kira 1,500 pemimpin pelbagai peringkat PAS Selangor.

Pesuruhjaya PAS Selangor , Datuk Dr Hassan Mohamad Ali ketika ditemui sebelum ini teringin benar mengetahu apakah maklum balas rakyat Selangor terhadap kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor khasnya menjelang 100 hari pentadbirannya 18 Jun nanti.

Dalam poll yang dibuat Siasah mulai 13 Mei lalu, 92 peratus respondan menyokong kerajaan Pakatan Rakyat itu iaitu 53 peratus berkata prestasinya sangat baik, 39 peratus baik dan hanya enam peratus yang berkata buruk dan sangat buruk.

Berdasarkan poll itu, kelihatan prestasi kerajan Pakatan yang disertai PAS itu memuaskan sehingga kini.

Namun, menurut tinjauan rambang Siasah, ada juga kerisauan kalau-kalau nasib kerajaan PAS Terengganu selepas 1999 lalu berulang di Selangor.

“Saya bimbang dengan sikap sebahagian aktivis PAS yang suka sangat mengkritik secara terbuka pimpinan negeri,” kata seorang petugas PAS kepada Siasah. Inilah juga yang menjadi punca kejatuhan PAS di Terengganu 2004 lalu.

Antara kritikannya adalah pemimpin PAS tidak meraikan ramai petugas PAS dalam melantik kakitangan dan petugas utama kerajaan negeri di mana orang-orang yang dikira bukan aktivis PAS yang dilantik.

Siasah dimaklumkan, kritikan sebegini dinyatakan secara langsung kepada pimpinan PAS negeri di samping cakap-cakap dalam mesyuarat parti.

Para pemimpin kanan PAS di Selangor nampaknya mempunyai jawapan jelas dalam hal ini.

“Kita mementingkan kepakaran kakitangan yang hendak dilantik. Ini yang akan menentukan kita berjaya dalam mentadbir negeri ini atau tidak,” kata salah seorang dari pimpinan PAS Selangor kepada Siasah.

Adalah dipercayai, ini antara perkara yang bakal memanaskan ijtimak PAS kali ini.

Tambahan lagi Husam dan Hanipa yang akan membentangkan kertas kerja mereka mempunyai sikap tersendiri dalam hal kerajaan negeri Selangor ini.

Tiada ulasan: