HALAMAN SANTAI

Isnin, 19 Mei 2008

Kaki manusia dijumpai dalam tong sampah


KUALA LUMPUR: Sekumpulan pekerja syarikat Alam Flora yang sedang mengutip sampah di Taman Salak Selatan pagi ini terkejut apabila menjumpai sebahagian kaki kanan manusia yang dipercayai dipotong dengan senjata tajam di dalam tong sampah.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata kaki daripada bahagian lutut ke bawah itu dibalut dengan jeans biru dan dipercayai milik seorang wanita berdasarkan pewarna kuku pada jari kaki itu.

"Bagaimanapun kita akan tunggu laporan ujian forensik daripada Hospital Kuala Lumpur," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata pekerja Alam Flora terbabit sedang menjalankan kutipan rutin semasa menjumpai kaki itu kira-kira 8.15 pagi ini.

"Polis percaya kaki mangsa dipotong atau dicederakan dalam tempoh kurang 24 jam, di lokasi lain. Setakat ini polis masih tidak tahu sama ada mangsa hidup atau tidak," katanya.

Wan Abdul Bari turut meminta pusat perubatan atau klinik menghubungi polis dengan segera sekiranya terdapat pesakit yang mendapatkan rawatan akibat kehilangan atau kecederaan kaki.

Sementara itu, pekerja Alam Flora yang menjumpai kaki tersebut, K. Krishnamoorthy, 47, berkata ini adalah kali pertama beliau menjumpai anggota badan manusia sejak bekerja dengan syarikat itu tiga tahun lalu.

"Saya ingat benda itu daging...tetapi tidak sangka ia adalah kaki manusia," katanya.

Rabu lalu, polis menjumpai tangan kanan manusia di dalam parit berhampiran sebuah pusat asuhan kanak-kanak di Jalan PJS 3/40 Taman Seri Manja, Petaling Jaya.

Tangan itu dikenalpasti milik seorang remaja berusia 14 tahun yang terlibat dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 6, Jalan Batang Kali Ulu Yam. BERNAMA

Tiada ulasan: