Pahang minat contohi program Ladang Rakyat di Kelantan
Lan Jusoh
KOTA BHARU (Hrkh) Kejayaan Kelantan melaksanakan program Pembangunan Ladang Rakyat bukan sahaja dapat membantu penduduk miskin di negeri ini, sebaliknya ia turut menarik minat negeri lain.
Drs Zainuddin Awang Hamat (PAS Limbongan) memberitahu persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan hari ini, kerajaan Pahang turut berminat melaksanakan program tersebut.
Kata beliau kejayaan Ladang Rakyat sudah terbukti sekarang apabila ada negeri lain juga berminat menirunya.
Ladang Rakyat diwujudkan pada Mac 2006, di mana peserta dipilih di kalangan penduduk miskin. Mereka diberi dividen sebanyak RM200 sebulan.
Selain itu, peserta juga berpeluang bekerja di ladang yang dimajukan dengan usahasama pihak swasta. Mereka juga berpeluang memiliki rumah banglo tiga bilik melalui sewa beli yang dirancang dibina di kawasan ladang.
Kelayakan untuk menjadi peserta Ladang Rakyat mesti berusia di antara 25 hingga 60 tahun dan berpendapatan di bawah RM530 sebulan.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, peserta juga dibantu dari aspek spiritual dengan mewajibkan mereka menghadiri kelas-kelas agama dan solat berjemaah di masjid atau madrasah.
" Setiap bulan diadakan kelas bimbingan rohani di peringkat Dun. Setiap peserta diwajibkan hadir pada program tersebut. Mereka yang engkar akan dinilai semula kedudukannya.
" Begitu juga bagi peserta yang sudah keluar dari garis kemiskinan akan dikeluarkan daripada senarai peserta dan tempatnya digantikan orang lain," katanya.
Dalam perkembangan lain, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat, Datuk Anuar Tan Abdullah berkata, kerajaan negeri melaksanakan pelbagai program bagi mengatasi masalah belia menganggur.
Antaranya, galakan perdagangan, perindustrian dan pembangunan usahawan disediakan peruntukan sebanyak RM500,000, skim kerjaya penganggur (RM500,000), dana belia niaga (RM500,000), galakan industri kraftangan (RM100,000).
Projek pembangunan sumber manusia (RM700,000), pembangunan infrastruktur usahawan (RM500,000), kawasan industri (RM1 juta), jalan industri (RM500,000) dan gerakan belia berdikari (RM1.2 juta).
" keseluruhan peruntukan yang disediakan bagi tujuan itu sebanyak RM6.3 juta," katanya menjawab soalan Mohd Zaki Ibrahim (PAS Kelaboran).
Menjawab soalan tambahan Datuk Noor Zahidi Omar (BN Pengkalan Kubur) katanya, keberkesanan program itu dapat dilihat apabila ramai pengundi muda menyokong PAS pada pilihan raya umum lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Pembangunan Insan, Abdul Fattah Mahmood berkata, beberapa agensi kerajaan negeri dan NGO terbabit secara langsung mengatasi masalah pengangguran di kalangan belia di Kelantan.
Katanya, antara agensi terlibat termasuk Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan, Pupuk Nilai Murni, Pusat Pembangunan Keusahawan dan Kemahiran Negeri Kelantan, Jabatan Pertanian, Darul Digital dan Urusetia Pembangunan Wanita, Belia dan Sukan
Menurutnya, terdapat lebih 25 program khas yang disusun bagi memberi kemahiran dan pengalaman kepada golongan belia menganggur.
Antaranya kursus pembungkusan produk, tanaman cendawan, memproses cordial, membaiki handphone, animasi, gunting rambut, membuat roti canai dan seminar produk halal.
Menjawab soalan tambahan Datuk Alwi Che Amat (BN Kok Lanas) katanya, masih terdapat sekatan yang dilakukan kementerian tertentu terhadap pihak swasta yang berminat mendirikan kilang di Kelantan. - mj
Tiada ulasan:
Catat Ulasan