HALAMAN SANTAI

Khamis, 1 Mei 2008

Laporan polis akan dibuat: MB


SHAH ALAM - Kerajaan Negeri Selangor akan membuat laporan polis selepas mendapat penjelasan daripada pihak Pendaftar Pertubuhan berhubung pembubaran dan pemindahan wang Badan Kebajikan Isteri-Isteri Wakil Rakyat Selangor (Balkis), kata Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim.

Beliau berkata setakat ini, kerajaan negeri telah menerima surat dari syarikat-syarikat yang telah memberi sumbangan dan ada sebahagiannya ingin mengetahui bagaimana cara pembubaran itu dijalankan sama ada mengikut tatacara yang terkandung dalam memorandum pertubuhan itu atau tidak.

“Kita belum buat laporan polis sehingga dapat penjelasan daripada Pendaftar Pertubuhan. Mungkin penjelasan itu akan dapat diperolehi dalam tempoh seminggu ini. Selepas itu, baru kita akan buat keputusan apa bentuk tindakan yang akan kita ambil. Saya perlu pastikan prosesnya sebelum mengambil tindakan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pameran Seni Bina Haiwan di Muzium Sultan Alam Shah di sini, semalam.

Pada 24 April lepas, kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh pejabat Menteri Besar Selangor menyebut kerajaan negeri akan mengadakan siasatan menyeluruh terhadap Balkis berhubung pemindahan dana pertubuhan itu sebanyak RM9.9 juta.

Menurut kenyataan itu, siasatan dibuat setelah kerajaan negeri mendapati dana berkenaan telah dipindahkan kepada sebuah badan amal lain, Bakti.

Dana berkenaan ialah sumbangan anak-anak syarikat kerajaan negeri kepada Balkis untuk menjalankan program kebajikan dan kemasyarakatan seperti Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) yang menyumbang sebanyak RM268,862 pada 2007, manakala Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sebanyak RM590,379 di antara 2006 dan 2007.

Menurut Abdul Khalid, siasatan awal pihaknya mendapati tindakan ayng dibuat Balkis itu tidak mengikut prosedur yang sepatutnya.

“Kebiasaannya, jika sesuatu pembubaran pertubuhan itu ingin dibuat, ia sepatutnya memberikan notis pembubaran tersebut dalam tempoh 14 hari kerana ia tertulis di dalam peruntukan Pendaftar Pertubuhan.

“Jika keputusan itu (pembubaran) dibuat pada 11 Mac lalu, ini bererti mesyuarat tersebut mesti diadakan sekurang-kurangnya pada 25 Mac dan pada masa itu Menteri Besar serta Exco negeri baru telah sah mengangkat sumpah,” ujarnya.

Sementara itu, bekas Yang Dipertua Balkis, Datin Seri Zahrah Kechik ketika dihubungi enggan memberikan sebarang komen berhubung kenyataan Abdul Khalid itu kerana tidak mahu isu itu terus berpanjangan.

“Terpulanglah kepada menteri besar apa yang hendak dibuat, saya tidak mahu komen lagi, kenyataan yang saya buat sebelum ini sudah cukup,” katanya.

Zahrah pada sidang medianya sebelum ini mempertahankan tindakannya mempengerusikan mesyuarat agung Balkis pada 11 Mac kerana ketika itu beliau masih Yang Dipertua dan masih belum meletakkan jawatan.

Tiada ulasan: