Imam masjid di kalangan PAS, satu tuduhan tidak berasas
Johari Jaafar
IPOH (Hrkh) “ Dakwaan yang dibuat oleh Adun Pangkor, Dato' Dr Zamri Abdul Kadir, yang menyatakan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Perak tidak menghormati Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah selaku Pengerusi Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Islam Perak sebagai satu tuduhan mahu mencemari imej kerajaan yang baru.
"Ini kerana, dakwaan Adun berkenaan kerajaan negeri telah melantik Imam dan Pengerusi Jawatankuasa Kariah Masjid (JKKM) dari kalangan ahli PAS adalah tidak benar sama sekali ini kerana imam-imam masjid dan anggota Jawatankuasa Kariah Masjid (JKKM) sedia ada di seluruh Perak masih belum dirombak,"demikian dinyatakan oleh Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Perak, Misbahul Munir Masduki, sebagai mengulas dakwaan Adun Pangkor tersebut.
Menurut beliau setakat ini kerajaan negeri hanya menyemak semula pelantikan imam yang lepas kerana didapati kaedah pelantikan itu melibatkan campur tangan politik serta pemilihan pula mesti diperakukan oleh Ketua Umno Bahagian.
"Senarai pelantikan JKKM bagi sesi 2007/2010 belum disahkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP), kerana itu perkara tersebut sepatutnya tidak timbul persoalan pelantikan imam dan anggota JKKM ini.
"Kerajaan negeri telah membuat keputusan untuk mengekalkan sebahagian anggota yang dicadangkan dahulu dan sekadar menambah anggota yang baru,"jelasnya.
Sehubungan dengan itu beliau melahirkan rasa kesal dengan tuduhan bahawa kerajaan negeri tidak menghormati Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah sebagai Yang Dipertua MAIAMP dan Sultan Azlan Shah. - mks.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan