Utusan Online
IPOH – Lima termasuk seorang Exco Kerajaan Negeri Perak yang direman oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) kerana disyaki terlibat dalam sogokan wang lebih RM100,000 dan seks bagi mempercepatkan proses permohonan projek perumahan bernilai RM180 juta di Seri Iskandar dekat sini semalam, dibebaskan hari ini.
Pembebasan itu awal sehari daripada tempoh tahanan yang sepatutnya.
Empat daripada suspek termasuk Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Insan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Perak, Kapten (B) Mohd. Osman Jailu, 57, dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada pukul 5.20 petang ini dengan alasan tempoh reman dua hari sudah mencukupi bagi BPR melengkapkan siasatan.
Pembebasan itu dikeluarkan oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Ridwan Ibrahim selepas mendengar permohonan untuk penyemakan semula keputusan tahanan reman yang dikeluarkan Mahkamah Majistret di sini semalam terhadap keempat-empat tertuduh yang dikemukakan oleh lapan peguam bela mereka.
Sementara itu, Mahkamah Majistret di sini pula membenarkan seorang lagi suspek iaitu Fairul Azrim Ismail, 30, dibebaskan pada pukul 3.10 petang ini.
Majistret Noor Aini Yusuf membenarkan ahli perniagaan itu dibebaskan dengan jaminan BPR sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin selepas badan itu selesai mengambil keterangan daripadanya.
Bagaimanapun, seorang lagi Exco kerajaan negeri iaitu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Jamaluddin Mohd. Radzi, 52, yang direman dua hari bermula pagi ini belum dibebaskan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan