Anwar Yang Patut Bersumpah, Saiful Wajib Bawa Bukti
oleh SM Noor
Kuala Terengganu – Sumpah yang dibuat oleh Saiful adalah ‘terbalik’ dan tidak menepati undang-undang Islam sebagaimana yang disyariatkan dalam al-Quran.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Ustaz Harun Taib berkata Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang sepatutnya bersumpah kerana beliau adalah orang yang dituduh.
Beliau berkata menurut Islam sepatutnya Saiful Bukhari Azlan wajib mengemukakan bukti, iaitu membawa sekurang-kurangnya empat saksi untuk membuktikan tuduhan beliau terhadap Anwar.
“Orang yang mendakwa (Saiful) perlu mengemukakan bukti dan saksi untuk membuktikanbahawa orang yang dituduh (Anwar) melakukan kesalahan tersebut,”kata Ustaz Harun ketika diminta mengulas berkaitan sumpah yang dibuat oleh Saiful baru-baru ini.
Beliau turut menyindir kenyataan Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi yang membela Saiful seolah-olah tahu isi hati Saiful ketika bersumpah.
Katanya niat bersumpah itubetul atau tidak, itu hal lain, kerana seseorang tidak akan mengetahui apa yang ada dalam hati dan maksud individu yang bersumpah tersebut, samada ada kerana Allah atau sebaliknya.
Semalam Abdullah membela Saiful dengan berkata, walaupun cara Saiful mengangkat sumpah dipertikaikan sesetengah pihak, namun beliau percaya apa yang ada di hati pemuda itu berupa niat untuk melahirkan sesuatu dalam bentuk sumpah.
Dalam perkembangan yang sama, Pengarah Jabatan Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Ismail Dagang berkata ahli-ahli politik dan masyarakat Melayu Islam hari ini perlu mendalami ilmu siasah syariah sebelum membuat sebarang komen perkara yang berkaitan.
Beliau berkata demikian kerana terdapat amalan yang mencampuradukkan tindakan ‘politik berkepentingan’ dengan hokum hakam Islam.
“Misalnya perbuatan bersumpah (Saiful) dengan memegang al-Quran, perkara itu tidak ada dalam Islam, ia dari amalan ugama lain,”katanya ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi Biro Penerangan dan Agama UMNO Terengganu, Dato’ Zubir Embong hari ini.
Beliau berkata salah faham kerana tiada ilmu Islam berkaitan perkara berkenaan berlaku dikalangan para pegawai Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) yang dilaporkan memantau majlis Mubahalah Saiful.
“Sepatutnya mereka merujuk kepada sumber asal al-Quran dan Sunnah RasuluLlah SAW yang telah lengkap,
”Dalam a-Quran jelas mengatakan bahawa apabila seseorang membuat tuduhan zina/liwat, maka ia wajib membawa empat saksi,
”Sekiranya gagal membawa saksi-saksi ataupun saksi-saksi yang dibawa mempunyai keraguan terhadap tuduhan yang dilemparkan, maka kes tersebut hendaklah ditolak,”jelas Ustaz Ismail.
Menurutnya pernah berlaku di zaman Syaidina Omar al-Khattab, seorang yang menuduh zina telah membawa empat saksi, namun terdapat keraguan dalam keterangan saksi yang keempat dan Omar telah menolak tuduhan yang dikemukakan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan