HALAMAN SANTAI

Sabtu, 16 Ogos 2008

Cadangan senator untuk wakili PAS Sabah dan Sarawak
Roy Rasul


IPOH - Wakil Selangor, Ustaz Salehin Mukhyi mencadangkan agar negeri yang diperintah Pakatan Rakyat melantik seorang wakil dari negeri Sabah atau Sarawak sebagai senator untuk negeri-negeri tersebut.

Berucap membahaskan ucapan dasar Presiden di Muktamar Tahunan PAS ke-54 di Stadium Indera Mulia, dekat sini, hari ini, langkah ini katanya perlu sebagai pengiktirafan dan kemajuan PAS di Sabah dan Sarawak.

"Kita lantiklah seorang daripada mereka menjadi Senator di negeri-negeri yang PAS menang," katanya.

Salehin juga lantang melahirkan rasa kurang senangnya dengan layanan Kerajaan Pakatan Rakyat terhadap aktivis PAS khususnya di negeri Selangor.

Bahkan katanya apa gunanya jika Pakatan Rakyat memimpin negeri jika layanan yang diterima sama dengan pentadbiran BN.

"Apa erti kemenangan jika kemenangan itu mengulangi cara BN memerintah," tegasnya.

Menurutnya selepas meraih kemenangan, ahli-ahli PAS Selangor masih kabur mengenai dasar-dasar kerajaan negeri lebih-lebih lagi yang bersangkutan dengan Islam.

Turut disentuh Salehin adalah peranan Majlis Syura Ulama.

Beliau menyarankan badan tertinggi PAS itu menghadap Raja-raja Melayu untuk menerangkan mengenai dasar dan perjuangan sebenar PAS.

"Kita minta Majlis Syura membuat pertemuan dengan raja-raja bagi menerangkan PAS ini parti yang baik dan tidak sama dengan Umno," katanya.

Sementara itu cadangan Salehin berhubung perlantikan senator mewakili PAS Sabah dan Sarawak mendapat sokongan dari wakil Sarawak dan Sabah.

Wakil Sarawak dan Sabah yang berucap kemudiannya menyerahkan kepada pemimpin PAS Pusat untuk memikirkan kewajaran cadangan itu.- tajdid_

Tiada ulasan: