(Dikemas kini)
Lagi polemik sumpah, Saiful beri keterengan di JAWI dakwaan diliwat Anwar
KUALA LUMPUR: Mohd Saiful Bukhari Azlan, 23, yang mendakwa dirinya diliwat oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim, memberi keterangan berhubung dakwaannya itu kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di sini hari ini.
Sementara itu, Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Wan Zahidi Wan Teh berkata, perbuatan Saiful memegang kitab suci al-Quran di tangan kanannya ketika melafazkan sumpah laknat di Masjid Persekutuan tidak bercanggah dengan syariat Islam dan tidak boleh dianggap meniru cara agama Kristian.
Kata beliau, kewujudan persamaan zahir dengan apa yang dilakukan oleh penganut Kristian tidak boleh dianggap meniru agama itu.
Dengan memakai baju kemeja berwarna biru dan berseluar hitam serta bersongkok, beliau tiba pukul 10 pagi dengan iringi bapanya, Azlan Mohd Lazim dan peguamnya Zamri Idris.
Saiful dipercayai dipanggil oleh JAWI bagi memberi keterangan mengenai dakwaan kononnya beliau diliwat pada 26 Jun lepas oleh Anwar yang juga bekas majikannya.
Menurut satu sumber, Saiful telah datang ke JAWI menaiki sebuah kereta Proton Waja dan berada di pejabat itu lebih kurang tiga jam.
Peguam Saiful, Zamri juga enggan mengulas kehadiran Saiful di JAWI. Malah, Zamri juga enggan menjawab segala panggilan. Namun, setelah didesak, Zamri berkata tujuan kedatangan Mohd Saiful bukan berhubung siasatan mengikut kesalahan qazaf.
"Tujuan datang pagi ini untuk bertemu dengan pegawai JAWI. Ini bukan berkaitan qazaf, kita akan maklumkan kemudian," katanya.
Dalam pada itu di Permatang Pauh, Anwar yang berkempen menghadapi pilihan raya kecil berkata, "dia dipaksa pergi (ke JAWI)."
"Dia pergi hanya selepas sebulan (selepas Anwar pergi)," kata beliau selepas melancarkan tema kempennya "Merdeka - Dari Penindasan dan Kezaliman" pagi ini.
Anwar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 8 Ogos lalu terhadap tuduhan melakukan hubungan seks di luar tabii terhadap Saiful di sebuah kondominium di ibunegara pada 26 Jun lalu.
Pada 15 Ogos lalu, Saiful mengangkat sumpah mengikut syariat Islam untuk membuktikan kebenaran dakwaan dirinya diliwat di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta. Saiful mendakwa beliau diliwat secara paksa oleh penasihat PKR itu di kondominium mewah di Damansara.
Majlis itu disaksikan beberapa pegawai masjid berkenaan dan ahli keluarga Mohd Saiful serta pegawai dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
Pengarah JAWI, Datuk Che Mat Che Ali juga turut berada di masjid ketika upacara sumpah laknat itu diadakan.
Saiful juga telah mengadakan satu sidang akhbar di Hotel Dynasty sejurus selepas upacara sumpah itu berlangsung.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan