Jumlah ibu tunggal muda di Terengganu bimbangkan
KUALA TERENGGANU: Jumlah ibu tunggal muda yang berusia di bawah 30 tahun di Terengganu mencecah sehingga 938 orang tahun ini, satu jumlah yang membimbangkan kerajaan negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri Asha'ari Idris berkata daripada jumlah itu, sebanyak 11 ibu tunggal berumur di bawah 20 tahun manakala 927 orang berusia antara 21 dan 30 tahun.
"Jumlah ini agak mengejutkan kerana terdapat ramai ibu tunggal yang berusia di bawah 30 tahun di negeri ini," katanya ketika menjawab soalan Ramlan Ali (BNJabi) berhubung bantuan yang diberi kerajaan negeri kepada ibu tunggal di negeri itu pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di sini hari ini.
Menjawab soalan Ramlan mengenai jumlah ibu tunggal yang berjaya dibimbing Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) antara Januari hingga Julai tahun ini, Asha'ari berkata dalam tempoh itu YPKT berjaya membimbing dan membantu 539 ibu tunggal meningkatkan kehidupan mereka.
Beliau berkata sebuah kelab ibu tunggal juga telah ditubuhkan di semua DUN di negeri itu dalam usaha membantu dan memajukan golongan berkenaan.
Setakat ini, dua bentuk bantuan telah disediakan untuk ibu tunggal berkenaan iaitu kursus dan seminar serta bantuan kewangan antara RM200 dan RM400 sebulan bagi meningkatkan ekonomi mereka, katanya. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan