Kes khalwat gadis tempatan dengan warga asing naik 100 peratus
Noor Aznida Alias
KUALA TERENGGANU: Jumlah kes khalwat gadis tempatan dengan warga asing di negara ini meningkat 100 peratus setiap tahun dan tangkapan paling banyak dibuat pada malam Sabtu dan Ahad.
Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Ibrahim Lembut, berkata kejadian itu berlaku kerana gadis tempatan mudah terpaut dengan kata-kata manis serta hadiah diberikan warga asing, termasuk Indonesia dan Afrika.
"Lebih menyedihkan, gadis tempatan mudah terpengaruh dengan pujukan mereka dan sanggup menggadaikan maruah tanpa memikirkan kesan dari perbuatan itu.
"Kes paling banyak berlaku di bandar besar dan di Lembah Klang kerana ramai pendatang asing tertumpu kawasan tumpuan ramai," katanya ketika ditemui selepas Majlis JKSM Bersama Masyarakat di Wisma Darul Iman, semalam.
Ibrahim yang tidak memberi perangkaan jumlah tangkapan berkata, kebanyakan kes dilaporkan pada hujung minggu kerana ramai warga asing mengambil kesempatan keluar berseronok dan menjadikan remaja yang berkeliaran di sekitar pusat beli-belah sebagai sasaran.
Beliau berkata kesan dari perbuatan tidak bermoral itu, semakin ramai anak luar nikah tanpa bapa dilahirkan di negara ini dan akibatnya ditanggung secara bersendirian oleh wanita terbabit.
"Pergaulan bebas antara wanita dan lelaki sukar dibendung dan kini menjadi barah yang menular dalam masyarakat.
"Kita bimbang suatu hari nanti rumah anak yatim akan dipenuhi dengan anak tidak diketahui nasabnya dan sekiranya ini berlaku, kita sebagai masyarakat secara tidak langsung bertanggungjawab terhadap permasalahan ini," katanya.
Ibrahim berkata, bagi memastikan pendatang terbabit didakwa di mahkamah, beliau akan mengemukakan kertas cadangan kepada kerajaan supaya perbicaraan kes khalwat turut dilakukan pada Sabtu dan Ahad.
"Kebanyakan warga asing yang dibenarkan ikan jamin selepas ditangkap menghilang diri dan tidak menghadiri perbicaraan," katanya.
Beliau berkata, jika cadangan itu diterima perbicaraan boleh diadakan pada hari cuti dan warga asing terbabit tidak perlu dilepaskan sementara menunggu perbicaraan-BHarian Online
Tiada ulasan:
Catat Ulasan