Utusan Online
KUALA LUMPUR _ Rancangan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk menyampaikan khutbah Jumaat di Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri di Ipoh) dan Masjid Sultan Azlan Shah, Ipoh, esok tidak diberi perkenan oleh Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah.
Perkara itu disampaikan kepada Abdul Hadi ketika Presiden Pas itu menghadap baginda di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar hari ini, kata Datuk Pengelola Bijaya DiRaja, Datuk Seri Raja Mansor Raja Razman.
Dalam satu kenyataan kepada Bernama hari ini, beliau berkata, titah itu adalah selaras dengan pendirian bahawa masjid dan surau di Perak haruslah bebas daripada sebarang pengaruh politik kepartian.
Katanya, hanya imam yang mendapat tauliah daripada Sultan Perak yang boleh menyampaikan khutbah di masjid-masjid di Perak.
Rabu lalu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mengumumkan perkenan Raja Nazrin itu setelah beliau mengadap baginda sebelum mesyuarat Exco kerajaan negeri diadakan pada hari berkenaan..
Menurutnya, perkenan itu adalah tanda penghormatan kepada kedua-dua tokoh pemimpin Pas terbabit yang akan menghadiri Muktamar Pas Ke-54 di Stadium Indera Mulia di sini.
Mohammad Nizar berkata, pada masa yang sama, Raja Nazrin turut berkenan untuk menerima mengadap 12 pemimpin tertinggi Pas diketuai Abdul Hadi di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pada pukul 11 pagi hari ini.
Muktamar Pas Ke-54 yang julung kali diadakan di Perak akan bersidang di Stadium Indera Mulia di sini pada Jumaat hingga Ahad ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan