Pakar bedah didakwa tampar pesakit digantung tugas sementara
PETALING JAYA: Seorang pakar bedah plastik yang didakwa menampar seorang pesakit ketika memberikan rawatan, digantung daripada melakukan sebarang tugas klinikal sehingga siasatan berhubung kes itu selesai.
Pengarah Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Profesor Dr Ikram Shah Ismail berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan dalaman berhubung kes itu sebelum memutuskan tindakan selanjutnya terhadap doktor itu.
Kira-kira 10 orang saksi termasuk mangsa, anggota keluarga pesakit dan kakitangan yang berada di tempat kejadian akan dipanggil untuk membantu siasatan, katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata doktor itu yang telah berkhidmat selama dua tahun sebagai pakar bedah di PPUM, juga merupakan seorang pensyarah di Universiti Malaya (UM) dan tidak memiliki rekod disiplin.
"Kita menjangkakan hasil keputusan siasatan berkenaan siap dalam tempoh seminggu dan kita akan turut memaklumkan kepada pihak UM kerana doktor tersebut adalah salah seorang staf di
Dr Ikram Shah berkata walaupun kes itu merupakan kes terpencil, PPUM bagaimanapun merasa kecewa kerana kakitangan lain di PPUM begitu profesional dalam menjalankan tugas mereka.
Mangsa, seorang peniaga sayur, telah dipindahkan ke Hospital Serdang atas permintaan anggota hli keluarganya, katanya.
Dalam kejadian pada 12 Ogos lepas, T. Rajangam, 56, mendakwa ditampar dan dikasari doktor berkenaan kerana tidak menurut arahan doktor tersebut.
Bagaimanapun beliau telah membuat aduan kepada Pegawai Perhubungan Awam PPUM mengenai insiden itu.
Namun, ketika dirawat doktor yang sama pada 15 Ogos lepas, beliau sekali lagi mendakwa dikasari doktor berkenaan yang berang dengan tindakannya membuat laporan kepada PPUM.
Sehubungan itu, anak saudara mangsa telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, Jumaat lepas. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan