HALAMAN SANTAI

Sabtu, 9 Ogos 2008

Pembesaran rumah api Pulau Pisang disiasat
Oleh: Thomas Chong

PUTRAJAYA - Pegawai Malaysia dalam Jawatankuasa Teknikal Bersama Malaysia-Singapura diarahkan menyiasat laporan kononnya Singapura menjalankan kerja-kerja pembesaran kawasan rumah api Pulau Pisang di perairan Pontian, Johor.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, setakat ini, beliau belum menerima apa-apa laporan mengenai aktiviti peluasan tanah yang didakwa dijalankan oleh Singapura di kawasan rumah api itu.

"Buat masa ini, saya tidak boleh memberi ulasan kerana saya tidak diberitahu tentang apa-apa tindakan Singapura yang melanggar hubungan baik antara Malaysia dengan Singapura," katanya selepas menghadiri majlis menaikkan bendera sempena ulang tahun ke-41 ASEAN di Wisma Putra di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan sebuah stesen televisyen yang mendakwa Singapura telah melakukan pembesaran kawasan rumah api Pulau Pisang.

Menurut Rais, soal pemilikan rumah api yang kini diuruskan oleh Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Singapura akan dibincangkan secara dua hala antara Malaysia dan Singapura dalam masa terdekat.

"Posisi mengenai rumah api ini akan dikaji secepat mungkin dan kita akan maklumkan kepada pihak Singapura tentang apa yang akan kita lakukan di Pulau Pisang," katanya.

Menteri Luar itu turut mencadangkan kerajaan Johor agar mewujudkan satu pelan induk pembangunan untuk Pulau Pisang.

"Kita ingin mencadangkan supaya Pulau Pisang tidak ditinggalkan begitu sahaja seperti yang berlaku ke atasnya sebelum ini.

"Kita mesti proaktif dari segi pembangunan Pulau Pisang dan satu pelan induk pembangunannya harus diwujudkan," katanya.

Mengenai kerja-kerja Jawatankuasa Teknikal Bersama Malaysia-Singapura pula, Rais berkata, setakat ini, dua mesyuarat telah dijalankan, manakala mesyuarat ketiga akan berlangsung 19 Ogos ini.

"Mesyuarat ini akan menentukan perkara-perkara teknikal, antaranya menilai apa yang harus dilakukan bersama oleh kedua-dua negara susulan keputusan penghakiman mengenai Batu Putih dan Batuan Tengah pada 23 Mei lalu," katanya.

Tiada ulasan: