HALAMAN SANTAI

Rabu, 6 Ogos 2008

Polis didakwa hina mahkamah, salahguna kuasa
Harakah Daily


Tindakan polis yang mengingkari perintah mahkamah dan bertindak menyalahgunakan kuasanya terhadap lima orang yang disiasat di bawah Kanun Acara Jenayah, diselar oleh Peguam Francis Pereira.

Francis yang mewakili Al Amin Zulkernain (India Muslim) dan Samuel Raj Sivajothi dua daripada enam yang disiasat mengadu penyalahgunaan kuasa oleh polis kepada Suhakam.

Menurut Francis, kedua-dua anak guamnya yang dibicarakan pada 31 Julai dan 1 Ogos baru-baru ini telah dibebaskan dan dilepaskan oleh Mahkamah Majistret Klang selepas mendengar hujah peguamcara yang disokong oleh otoriti Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

Malangnya, kata Francis, pihak polis yang diwakili oleh Inspektor Jagjeet enggan melepaskan dan membebaskan kesemua orang yang disiasat bahkan terus menggari dan membawa mereka ke Ibu Pejabat Polis Daerah Klang semula.

"Kegagalan pihak polis melepaskan gari keenam-enam tahanan walaupun diperintahkan oleh mahkamah jelas mengambarkan tindakan mencabuli hak asasi individu-individu terbabit,"katanya.

Tegasnya, atas arahan 'pegawai atasan' keenam-enam orang yang disiasat tersebut dibawa semula ke Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya untuk ditahan di bawah Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) 1969.

Beliau berkata, tindakan polis yang tidak menghiraukan keputusan mahkamah telah menolak permohonan reman dan enggan membebaskan kesemua yang disiasat serta arahan Majistret adalah jelas sikap menghina mahkamah.

Tambahnya, penahanan demi penahanan mereka di bawah ibu pejabat polis yang berlainan beserta tuduhan di bawah Ordinan Darurat setelah dibebaskan oleh mahkamah menampakkan lagi salah guna kuasa yang dilakukan oleh pihak berkuasa.

"Kami percaya sebarang keputusan mahkamah adalah setiap masa harus dihormati oleh semua pihak termasuk polis kami memohon mahkamah mengambil tindakan kepada pegawai-pegawai polis yang enggan mematuhi arahan mahkamah," katanya.

Hal ini, tambah beliau, jelas memperlihatkan tindakan malafide PDRM.

Sementara itu, beberapa tindakan polis terhadap mangsa-mangsa tahanan jelas memperlihatkan tindakan 'malafide' oleh polis.

"Pihak polis jelas tidak memberitahu ahli keluarga tentang penahanan mangsa-mangsa tersebut selain menyediakan wakil peguam sebagaimana yang termaktub dalam Kanun Acara Jenayah dan Perlembagaan Persekutuan," tegas Francis.

Di samping itu, katanya, pihak berkuasa gagal membebaskan keenam-enam individu itu walaupun telah mendapat perintah mahkamah seperti yang dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan.

Jelasnya lagi, penderaan fizikal yang berlaku kepada mereka atas nama siasatan pula disifatkannya sebagai melanggari undang-undang dan nyata merupakan satu penyalahgunaan kuasa pihak polis.

Sementara itu, Pesuruhjaya Suhakam Dato' Panglima Simon Sipaun yang menerima memorandum daripada Peguam Francis menyatakan bantahannya terhadap perbuatan polis yang menggunakan Ordinan Darurat terhadap mangsa terbabit.

Beliau juga akan membuat penyiasatan secepat mungkin atas apa yang dilaporkan oleh peguam berkenaan.

Tiada ulasan: