Rasional Anwar pilih Permatang Pauh
Subky Abdul Latif
Dato' Seri Anwar Ibrahim sudah pasti bertanding dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh sebelum bulan puasa ini berikut dengan perletakan jawatan isterinya Datin Seri Wan Azizah Ismail sebagai anggota Dewan Rakyat kawasan itu.
Berbagai-bagai komen pemimpin BN mempertikai kewajaran Wan Azizah meletakkan jawatan bagi memberi laluan kepada suaminya itu. Antaranya termasuk Perdana Menteri sendiri.
Tidak wajar Perdana Menteri ikut memberi komen dan negatif pula. Orang boleh kata komen itu merepek. Biarkan budak-budak Umno yang tidak berwibawa saja membuat komen tak bermutu itu.
Anwar dalam debat dengan budaknya dulu, Dato' Shabery Cheek baru-baru ini mengumumkan dia akan bertanding kerusi Parlimen dalam waktu yang terdekat. Kemudian dia memberi beberapa kawasan seperti Kulim-Bandar Baru dan Bandar Tun Razak.
Permatang Pauh itu pernah diwar-warkan dulu, tetapi akhirnya Permatang Pauh, kawasan lamanya menjadi pilihan.
Sebelum pilihan raya umum dulu Wan Azizah pernah menyebut bahawa beliau mungkin mengosongkan kerusinya bagi memberi laluan kepada suaminya itu apabila Anwar layak bertanding semula.
Pertandingnya dulu itu adalah buat sementara kerana kuat kuasa undang-undang melarang Anwar bertanding. Apabila larangan itu tamat, maka apa pula yang menghalang Wan Azizah untuk mengosongkan kawasannya?
Cuma perhatian kepada Permatang Pauh itu tidak diteruskan kerana timbul takwil dari Suruhanjaya Pilihan Raya dan calon BN yang kalah di Kulim-Bandar Baru tentang kelayakan calon KeADILan, Zulkifli Nordin dalam pilihan raya umum dulu.
Dia dikatakan tidak menghantar penyata kewangan pilihan raya sebelumnya, maka dia hilang kelayakan untuk bertanding. SPR dan BN berusaha untuk membantah kemenangan Peguam Zulkifli Nordin.
Kulim-Bandar Baru adalah bersempadan dengan Permatang Pauh. Kalau Zulkifli boleh digugurkan, maka tidak perlu Wan Azizah mengosongkan kerusinya. Tumpu saja kepada Kulim-Bandar Baru.
Ia pilihan terbaik ketika itu. Zulkifli pun tidak membantah kerana dia pun tiada pilihan kiranya bantahan itu diproses.
Memandangkan Anwar sidah diura-urakan untuk bertanding di Kulim-Bandar Baru, maka dipercayai SPR dan BN tidak ghairah untuk mempercepat proses bantahan kepada Zulkifli Nordin. Untuk menunggu proses bantahan mungkin mengambil masa. Maka tidak wajar bagi Anwar menunggunya. Kembali saja ke Permatang Pauh.
Antara onar Umno tentang pemilihan Anwar itu adalah mengapa pilih Permatang Pauh yang majoritinya dalam pilihan raya lalu adalah besar? Ajaiblah kalau majoriti besar itu Anwar boleh kalah pula.
Mengapa Anwar tidak pilih kawasan lain yang majoritinya kecil? Anwar takut kalahkah? Sebagai seorang yang popular dia sepatutnya tidak memilih kawasan selamat. Bila pilih kawasan selamat, ertinya tiada apa-apa ertinya pada populariti yang digahkan itu.
Bagi Anwar menyuruh isterinya atau anaknya mengosongkan kawasan adalah lebih mudah dari menyuruh orang lain. Walaupun Anwar boleh memilih mana-mana kawasan, tetapi mendapat kerelaan orang lain itu bukanlah senang kalau anak dan isterinya ada.
Semuanya akan patuh kepada pilihan Anwar, tetapi menyuruh isteri berundur adalah lebih praktikal. Ia mematahkan semua fitnah. Mana-mana isteripun lebih senang memberi laluan kepada suami sendiri.
Entahlah kalau Rafidah Aziz, kerana dia Ketua Wanita Umno, akan membantah kalau suaminya dicalonkan untuk menggantikannya? Wan Azizah tidaklah seketegar Rafidah.
Wan Azizah bagaimana pun masih kekal sebagai Presiden KeADILan hinggalah ke satu masa yang sesuai bagi digantikan oleh Anwar.
Walaupun Anwar menghadapi banyak fitnah dan cabaran, tetapi tiada halangan baginya untuk menjadi calon.
Segala tohmah yang bertalu-talu terhadapnya sekarang tidak banyak bagi menghalangnya bertanding, tetapi lebih banyak untuk mengelirukan pengundi supaya tidak memberi undi kepadanya atas semua kerenah yang dituju kepadanya itu.
Tetapi orang tidak begitu yakin dengan semua tohmah itu. Kebanyakannya setuju dengan beliau bahawa ia tidak lebih dari satu konspirasi. Bukan sekadar pengundi tidak percaya Anwar sehodoh yang
Apa yang mereka buat sekarang ialah sekadar mahu menyusahkan Anwar supaya Anwar tidak banyak sangat mengacau mereka.
Yang tepat adalah mereka masing-masing mahu menyakat Anwar. Tetapi Anwar bukanlah kanak-kanak yang makan sakat.
Dan Anwar akan jadikan Permatang Pauh bagi menelanjangkan pemimpin-pemimpin Umno dan kerajaan. Menelanjangkan itu tidaklah bererti mereka sekalian tidak memakai pakaian, tetapi seperti maksud peribahasa itu mendedahkan segala kepincangan dan kelemahan kerajaan.- tajdid _
Tiada ulasan:
Catat Ulasan