HALAMAN SANTAI

Khamis, 21 Ogos 2008

Talian Nur terima 80 peratus panggilan palsu

KUALA LUMPUR: Kira-kira 80 peratus panggilan yang diterima Talian Nur, talian hotline untuk melaporkan keganasan rumahtangga dan penderaan kanak-kanak, adalah palsu, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Dr Ng Yen Yen.

"80 peratus panggilan yang diterima adalah panggilan palsu dan kebanyakannya adalah daripada kanak-kanak. Harap ibu bapa dapat didik anak-anak terutamanya di musim cuti sekolah ini supaya tidak mendail nombor kecemasan tanpa sebab," katanya semasa melancarkan kempen "Break The Silence On Domestic Violence" di sini, hari ini.

Talian 15999 itu dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 5 Disember 2007 dan dikendalikan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk memberi khidmat bantuan kepada mangsa keganasan rumah tangga, penderaan kanak-kanak, bencana alam, kebajikan dan penjagaan, serta isu berkaitan keluarga dan masyarakat.

Dr Ng juga berkata Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 akan dipinda untuk mewajibkan individu yang mengetahui atau mengesyaki terdapatnya sebarang aktiviti keganasan rumah tangga untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa.

"Individu yang mengetahui tentang keganasan rumah tangga mestilah diwajibkan untuk melaporkannya kepada pihak berkuasa. Dalam akta sekarang, laporan dibuat secara sukarela," katanya.

Ng berkata bilangan laporan polis berkaitan keganasan rumah tangga yang diterima pada tahun lepas melebihi 4,000 kes berbanding kira-kira 3,200 kes pada 2006.

Beliau juga mahu aspek penderaan emosi, mental, dan psikologi dimasukkan sebagai salah satu definisi "keganasan rumah tangga" dalam akta tersebut.

"Jika seseorang dikatakan "You're stupid! You're ugly!" setiap hari, ini akan mempengaruhi keseimbangan emosi dan kesihatan mental dan psikologinya," katanya.

Presiden Pertubuhan Pertolongan Wanita Malaysia Meera Samanther pula berharap agar pihak berkuasa memastikan wanita yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga berasa selamat dan dilindungi daripada orang yang menganiayanya.

"Berlakunya kes si tertuduh (individu yang melakukan jenayah rumah tangga) datang ke pusat perlindungan tanpa notis, dengan ditemani pihak berkuasa jabatan agama, anggota polis, dan peguam, membawa arahan bertulis daripada Mahkamah Syariah. Ini menjejaskan konsep "confidentiality" (kerahsiaan) dan "a safe house" (tempat selamat) yang mahu diterapkan kepada mangsa," katanya. BERNAMA

Tiada ulasan: