"UiTM sudahpun ambil pelajar bukan Melayu" Khalid
Oleh Mstar
DI sebalik perarakan membabitkan hampir 8,000 penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) membantah syor supaya pusat pengajian tinggi tersebut dibuka 10 peratus kepada bukan Bumiputera, Perdana Menteri dan Menteri Besar Selangor hari ini mempertahankan pendirian mereka mengenai statusnya.
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan, UiTM sendiri yang mempunyai kuasa dan hak dalam menentukan dasar pengambilan pelajar ke institusi pengajian tinggi itu.
Abdullah berkata, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak mempunyai kuasa untuk mencadangkan supaya kuota pelajar UiTM dibuka kepada bukan Bumiputera.
Ini bukan dia punya kuasa. Hal yang berkaitan dengan pengambilan (pelajar) adalah hal yang berkaitan dengan institusi pengajian yang berkenaan," kata beliau selepas merasmikan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2008 di Serdang, Selangor.
Dalam pada itu, Khalid pula berkata, syor supaya UiTM dibuka 10 peratus kepada bukan Bumiputera dibuat dengan niat yang baik demi kepentingan semua pihak.
Kata Khalid, beliau memang sedar pihaknya tiada kuasa untuk menentukan kuota pengambilan penuntut bukan Bumiputera belajar di UiTM.
"Saya sedar UiTM sudahpun mengambil pelajar bukan Melayu dan kebanyakannya adalah dari luar negara," katanya selepas menghadiri sesi dialog belanjawan negeri di Subang Jaya hari ini.
Dengan menetapkan kuota, jelas beliau, ia boleh dilakukan dengan sistematik manakala bukan Bumiputera pula akan jelas tentang peluang menyertai UiTM.
"Saya tidak melihat apa-apa kekurangan jika membuka institut ini kepada semua dan saya juga tidak merasakan satu kesalahan bagi saya memberikan pandangan sedemikian," katanya lagi.
Sehubungan itu, kata Khalid, kerajaan negeri Selangor juga bersedia menemui wakil penuntut UiTM untuk menjelaskan pendirian tersebut.
"Kami mahu pelajar mengetahui pendirian kami dan kami menjemput mereka untuk taklimat (daripada kami).
"Kami juga bersedia ke UiTM dan memberikan taklimat di
Sebelum ini, Menteri Besar Selangor mencadangkan 10 peratus daripada jumlah semasa kuota pelajar di UiTM dibuka kepada bukan Bumiputera serta pelajar asing.
Khalid berkata, cadangan itu akan dapat mempertingkatkan kualiti pendidikan dan persaingan di kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) tersebut.
Menurut beliau, syor itu juga dianggapnya sebagai wajar dan tepat dengan usaha UiTM yang mahu melahirkan pelajar daripada golongan Melayu dan Bumiputera yang berdaya saing.
Beliau melahirkan pandangan itu ketika mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr. Halimah Ali dalam sebuah akhbar hari ini yang berpendapat UiTM perlu 'dibuka' kepada kaum lain jika ingin mewujudkan persaingan yang sihat.
Bagaimanapun, kata Khalid, cadangan yang dilontarkan ini perlu difikirkan sedalam-dalamnya daripada semua aspek agar tidak bercanggah dengan dasar penubuhan IPT itu dalam melahirkan generasi bumiputera yang berilmu dan berdaya saing.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan