HALAMAN SANTAI

Ahad, 17 Ogos 2008

Umno cawangan buat laporan BPR
malaysiakini


Ketua Umno Cawangan Pulau Kapas dalam bahagian Kota Baharu hari ini membuat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) berhubung dakwaan berlakunya sabotaj untuk menyekat Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim daripada dicalonkan untuk bertanding jawatan ketua Umno bahagian itu.

Yaakob Mamat yang membuat laporan di Pejabat BPR di Kota Bharu petang ini, mendakwa ada pihak cuba menghalang mesyuarat cawangan daripada dijalankan jika cawangan tersebut menyokong Zaid yang juga bekas Ketua Umno bahagian Kota Bharu.

"Mereka menggunakan taktik samseng, membayar wang kepada ahli mesyuarat cawangan serta memberikan wang kepada pemerhati mesyuarat cawangan bagi memastikan mesyuarat cawangan itu tidak sah kerana tidak menepati syarat," katanya kepada Bernama hari ini.

Jawatan ketua Umno bahagian itu dijangka menyaksikan perebutan antara pemangku ketua, Datuk Mohd Fatmi Salleh dengan Zaid (foto) yang merupakan ketua bahagian itu sebelum beliau digantung keanggotaannya selama 18 bulan bermula 1 Januari 2007.

Yaakob, yang juga pengerusi pemantau bebas persidangan Umno bahagian Kota Bharu, berkata laporan BPR itu dibuat bagi membolehkan pihak berkuasa menyiasat perkara itu.

Sehubungan itu, beliau meminta Majlis Tertinggi Umno dan BPR memantau mesyuarat cawangan dalam bahagian Kota Bharu bagi memastikan mesyuarat itu berjalan secara demokrasi dalam pemilihan ketua bahagiannya.

Beliau berkata 116 cawangan Umno dalam bahagian Kota Bharu dan daripada jumlah itu 91 cawangan telah bersidang.

Katanya, Zaid telah menerima 19 pencalonan dan beliau memerlukan lima lagi pencalonan daripada 25 cawangan Umno yang belum bersidang.

"Mohd Fatmi telah mempunyai pencalonan yang cukup untuk membolehkan beliau bertanding jawatan ketua Umno bahagian Kota Bharu," katanya.

Tiada ulasan: