KOSMO ONLINE
TAIPING - Kes demam denggi di seluruh negara tahun ini setakat 16 Mac lepas mencatatkan peningkatan iaitu sebanyak 12,179 kes dengan 33 kematian berbanding tempoh sama tahun lepas iaitu 8,212 kes dengan 14 kematian, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Beliau berkata, ia merupakan peningkatan sebanyak 48.7 peratus dan menggesa orang ramai agar mengambil berat mengenai penyakit demam denggi yang sedang berleluasa kini.
"Wabak ini perlu dihentikan dengan secepat mungkin dan memerlukan kerjasama daripada semua pihak," katanya kepada pemberita selepas membuat lawatan kerja ke Klinik Kesihatan Changkat Jering di sini semalam.
Beliau berkata, statistik kementeriannya setakat Isnin lepas juga menunjukkan peningkatan kes demam denggi di Perak yang mencatatkan 1,068 kes dengan tiada kematian berbanding 946 kes dalam tempoh serupa pada 2008.
"Ini adalah kes kedua tertinggi selepas Selangor dan masih banyak lagi yang perlu dilakukan untuk mengurangkan kes demam denggi dalam negeri Perak," katanya.
Sementara itu, Tiong Lai berkata, Kementerian Kesihatan telah memberi kelulusan untuk membina pusat jantung, pusat ibu mengandung dan pusat jagaan kanak-kanak di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh.
Beliau berkata, pembinaan ketiga-tiga pusat itu menelan belanja RM60 juta dan dijangka beroperasi menjelang 2012.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan