Mohd Nor Yahya
KOTA BHARU - Mengambil kira nasib malang yang dihadapi umat Islam di Palestin wakil rakyat PAS di Kelantan mencadangkan supaya dipotong elaun bulanan secara berterusan sampai akhir hayat.
Adun Tawang, Hassan Mohamood mencadangkan semua Adun membuat potongan sejumlah elaun bulanan bagi membantu umat Islam di Palestin yang hidup dengan penuh kesengsaraan.
"Langkah ini lebih baik dan ia tidak perlu dihebohkan seperti mana yang dilakukan Adun pembangkang dengan menyerah cek di hadapan wartawan," katanya di sini, baru-baru ini.
Menurutnya bantuan yang dihulur secara berterusan biar pun sedikit lebih baik berbanding hanya sekali sahaja derma dihulur.
Pada persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan 23 Febuari lalu Adun Kuala Balah, Dato' Abdul Aziz Derasid mencadangkan semua Adun Kelantan memberi elaun atau gaji sebulan untuk diserahkan kepada Tabung Cakna Palestin yang dikelola kerajaan negeri.
Elaun Adun di Kelantan sekarang sebanyak RM3,600 sebulan.
Selepas persidangan berakhir Adun pembangkang menyampaikan cek berjumlah RM21,600 kepada Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Shokri Mohamed.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, borang kebenaran untuk membuat potongan elaun Adun akan diedarkan secepat mungkin.
Ketua Pembangkang, Dato' Alwi Che Ahmad berkata, langkah diambil mereka menggambarkan keprihatinan wakil rakyat terhadap kekejaman rejim Yahudi terhadap rakyat Palestin.
"Kita nak pergi berperang amat sukar sekali, jadi langkah menyumbangkan derma sebegini amatlah wajar dilakukan bagi meringankan beban yang ditanggung mereka," ujar beliau.
Beliau juga berkata, sumbangan derma tersebut seharusnya disalurkan kepada kerajaan Hamas dan bukannya Fatah. - mj _
Tiada ulasan:
Catat Ulasan