HALAMAN SANTAI

Khamis, 19 Mac 2009

‘Hari-hari makan ubi’

MYMETRO


GEORGETOWN: Umpama hidup di zaman penjajahan Jepun, itu dialami seorang gadis, Nur Jamiah Saad, 18, yang terpaksa memakan ubi kayu setiap hari selama dua tahun kerana tiada wang membeli makanan selepas melarikan diri dari keluarga semata-mata untuk berkahwin dengan suaminya, Soranto Ngadio, 30-an di Medan, Indonesia, pada Oktober 2007.

Katanya, selepas berkahwin, kehidupannya sangat susah dan sering tidak cukup duit untuk beli makanan hingga terpaksa makan ubi kayu yang ditanam di belakang rumah.

Dia tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas (LTABL), semalam berkata, hasil perkahwinannya, dia melahirkan seorang anak perempuan bernama Risti, berusia setahun lebih.

Nur Jumiah yang tenang, tetapi sebak tidak dapat menahan sedih selepas disatukan semula dengan kedua ibu bapanya, Saad Ahmad, 61, dan Esah Shaari, 56.

Anak kelapan daripada 10 beradik itu berkata, kehidupannya di Kecamatan Seilepan, Medan, umpama kais pagi makan pagi kerana suaminya tidak mempunyai pekerjaan tetap dan hanya berpendapatan RM6 sehari.

“Saya tidak mahu kembali semula ke sana dan berharap akan dapat meneruskan hidup bersama keluarga di sini, namun saya dan suami tidak bercerai.

“Malah, dia akan datang ke negara ini untuk meneruskan hidup dan membawa bersama anak kami,” katanya dengan pelat bahasa Indonesia ketika ditemui selepas dibawa pulang Sekretariat Pembelaan Masyarakat Pemuda Umno.

Dia yang berasal dari Belantik, Sik, Kedah, mula berkenalan dengan Soranto yang bekerja sebagai penoreh getah ketika masih belajar dalam tingkatan empat di Sekolah Menengah Kebangsaan Gulau, Sik.

Gadis itu hilang sebelum Aidiladha dua tahun lalu selepas memberitahu bapanya dia mahu berjumpa rakan di Baling, kononnya untuk pergi berkelah.

Nur Jumiah berkata, dia tidak sanggup lagi hidup dalam kesusahan di sana dan mengambil keputusan menghubungi keluarganya untuk pulang ke negara ini.

“Saya sangat menyesal dengan apa yang saya lakukan, tetapi ketika ini saya hanya mahu bawa anak saya pulang dan merancang kehidupan baru di sini,” katanya.

Sementara itu, Saad berkata, kepulangan anaknya itu amat menggembirakan mereka sekeluarga kerana tidak menyangka dapat bertemu semula Nur Jumiah selepas dua tahun terpisah.

Tiada ulasan: